Home Berita PAS Pusat

ISRAK MIKRAJ : Hadiah Istimewa Selepas Tahun Kesedihan

1631
SHARE

ISRAK MIKRAJ : HADIAH ISTIMEWA SELEPAS TAHUN KESEDIHAN

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan selamat menyambut Israk Mikraj pada 27 Rejab 1442 bersamaan 11 Mac 2021 kepada seluruh umat Islam.

Disebalik peristiwa ini terdapat pelbagai ibrah yang boleh diambil sebagai pedoman dalam kehidupan.

Antaranya, ia merupakan satu hadiah terindah yang Allah SWT kurniakan kepada Rasulullah SAW selepas diuji dengan Tahun Kesedihan (عام الحزن). Pada tahun tersebut telah wafatnya isteri Baginda, Sayyidah Khadijah R.A dan bapa saudaranya, Abu Talib serta penolakan keras penduduk Thaif terhadap dakwah Baginda SAW.

Hadiah tersebut merupakan pensyariatan solat fardu 5 waktu sehari semalam kepada umat Islam sebagai penghubung hamba kepada Tuhan. Dengan perantara solat kita dapat mengadu dan merintih kepada Allah atas bebanan yang dipikul oleh seseorang sehinggalah turut dikurniakan ketenangan hasil daripada solat yang khusyuk.

Bertepatan dengan situasi COVID-19 pada hari ini, marilah kita mengambil pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj. Tiba masanya umat Islam meneguhkan kembali keyakinan bahawa disebalik ujian yang menimpa, ada sesuatu hikmah yang Allah berikan agar kita kembali bergantung kepada-Nya.

Teruskan berdoa memohon bantuan dengan solat dan sabar supaya wabak ini segera diangkat dan kita dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Kerana dengan jalan solat dan sabar kita akan dibantu oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT :

وَٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِیرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِینَ

Maksudnya :
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
[Surah Al-Baqarah 45]

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

#MalaysiaSejahtera
#MalaysiaPrihatin
#MembangunBersamaIslam