Home Artikel PAS Perak

Tingkatkan keimanan; harungi ujian akhir zaman

334
SHARE

Tingkatkan keimanan; Harungi ujian akhir zaman

Salam Israk dan Mikraj 27 Rejab 1442 H.

Dewan Muslimat PAS Negeri Perak mengajak seluruh muslimin muslimat untuk sama-sama memperingati dan mengambil ibrah daripada peristiwa agung Israk dan Mikraj ini di mana Baginda Rasulullah SAW dibawa dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa. Hayatilah firman Allah SWT di dalam Surah Al-Isra’, ayat 1,

“Maha Suci Allah SWT yang sudah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah SWT jugalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Saban tahun pada tanggal 27 Rejab, kita pasti akan berpeluang memperingati peristiwa bersejarah ini melalui ceramah-ceramah Israk Mikraj di mana-mana majlis ilmu, baik secara langsung di masjid mahupun secara atas talian di media sosial. Alhamdulillah, pada tahun ini juga kita masih berpeluang untuk terus mengambil ibrah dari peristiwa ini.

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah sekalian, marilah sama-sama kita mengambil ibrah peristiwa Israk Mikraj ini dengan penuh penghayatan dan ketakwaan. Tanamlah azam di dalam diri untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa disamping sentiasa menjaga maruah diri sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Akhir zaman ini, semakin dahsyat cabaran untuk memelihara keimanan. Apa yang kita dapat lihat, masyarakat kini semakin terhakis sifat malu hingga sanggup menggadaikan maruah diri dengan mempamerkan perbuatan lagha di media sosial seperti merendahkan Islam, pergaulan bebas dan mendedahkan aurat tanpa rasa segan silu.

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA mengenai akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, “Akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.” (Hadis Riwayat Muslim). Ini sudah cukup menggambarkan betapa hebat dan tingginya akhlak Rasulullah SAW yang digelar al-amin atau kekasih Allah SWT.

Untuk memperbaiki masalah yang dihadapi masyarakat ini, sebagai umat Nabi Muhammad SAW kita perlu meneliti semula teladan yang Rasulullah tunjukkan. Setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku baginda sentiasa mengandungi hikmah dan sebagai huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Al-Quran.

Zaman akan terus berubah-rubah dan cabaran semasa akan terus dilalui. Namun marilah kita terus hidup berpandukan acuan Islam. Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan iman untuk mengharungi ujian-ujian akhir zaman.

Marilah kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang sentiasa cuba mengamalkan sunnahnya dan sentiasa berselawat padaNya. Mudah mudahan kita akan peroleh syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak.

“ISLAM MEMIMPIN WANITA SEJAHTERA”

Ikhlas daripada,
DR NAJIHATUSSALEHAH BINTI AHMAD
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak
11 Mac 2021 l 27 Rejab 1442 H