Home Minda Presiden

Israel Mendapat Khidmat Cowboy dan Badawi

2496
SHARE

Minda Presiden PAS

ISRAEL MENDAPAT KHIDMAT KOBOI DAN BADWI

Perkataan Koboi terkenal dengan gembala lembu yang menunggang kuda di Amerika dan orang yang tidak hemat atau tidak jujur dalam perniagaan, terutamanya yang tidak berkelayakan, serta difilemkan keganasannya bukan sahaja mengembala lembu bahkan rakus berkelahi, menembak dengan ganasnya terhadap musuh dan sesama sendiri.

Perkataan Badwi pula dikenali sebagai penduduk padang pasir yang berpindah randah membawa unta dan kambing, dengan sifatnya yang kasar, tidak beradab dan ganas, disebabkan tidak pandai hidup bermasyarakat.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda berkenaan tanda-tanda hampir berlakunya Hari Kiamat, bermula dengan bencana besar yang menghancurkan alam dunia. Sabdanya:

أن ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء يتطاولون في البنيان (رواية إمام مسلم)

“Kamu akan menyaksikan mereka yang berkaki ayam (tanpa kasut), tidak berpakaian lengkap, bangsat kehidupannya, mengembala binatang ternakan, tiba-tiba menjadi kaya-raya bermewah berlumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi”. (Riwayat Imam Muslim)

Rasulullah S.A.W. juga bersabda dalam hadis lain:

إذا وسد الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة (رواية البخاري)

“Apabila diserahkan urusan (memimpin umat) kepada orang yang bukan ahlinya (yang layak berkemampuan) maka tunggulah berlakunya As-Saa’ah (Kiamat yang membinasakan alam dunia)”. (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Rasulullah S.A.W. telah berjaya mengIslamkan sebahagian daripada mereka dan bertukar menjadi manusia paling baik dan ikhlas bersama Islam dan menegakkan ajarannya, serta mempertahankannya dengan penuh pengorbanan. Namun masih ada saki bakinya menjadi munafik dan kufur yang paling keras menentang Islam, dan cepat murtad selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.

Allah menegaskan sifat mereka dengan berfirman:

الْأَعْرَابُ أَشَدُّ كُفْرًا وَنِفَاقًا وَأَجْدَرُ أَلَّا يَعْلَمُوا حُدُودَ مَا أَنزَلَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (97) وَمِنَ الْأَعْرَابِ مَن يَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ مَغْرَمًا وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ الدَّوَائِرَ ۚ عَلَيْهِمْ دَائِرَةُ السَّوْءِ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (98) وَمِنَ الْأَعْرَابِ مَن يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ قُرُبَاتٍ عِندَ اللَّهِ وَصَلَوَاتِ الرَّسُولِ ۚ أَلَا إِنَّهَا قُرْبَةٌ لَّهُمْ ۚ سَيُدْخِلُهُمُ اللَّهُ فِي رَحْمَتِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (99(

“Orang-orang A’raab (Badawi) lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (97) Dan sebahagian dari orang-orang A’raab (Badawi yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil menunggu peredaran zaman (yang membawa bala bencana) menimpa kamu; atas merekalah (tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh) peredaran zaman yang buruk itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (98) Dan sebahagian dari orang-orang A’raab (Badawi) itu ada yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka). Ketahuilah, Sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam RahmatNya; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani). (99)” (Susarh At-Taubah: 97-99)

Kita sedang menyaksikan benarnya kenyataan Rasulullah S.A.W. berkenaan tanda akhir zaman yang tidak berlaku di zamannya. Ini bukannya satu ramalan atau andaian seperti ahli politik manusia biasa atau ahli nujum pembohong walaupun berlaku ramalannya tetapi secara kebetulan sahaja.

Adapun Rasulullah S.A.W. itu dilantik dengan pilihan Allah yang istimewa bagi seluruh manusia, diberi kepada Baginda S.A.W. ilmu wahyu dengan firmanNya yang dapat dibaca dan ilmu laduni (secara ilham) yang menepati ilmu Allah yang benar dan menjadikan para rasulnya juga adalah benar.

Manusia adalah sejenis makhluk yang dikurniakan akal, maka diberi nikmat ilmu dan hasil yang melimpah ruah dijadikan ujian kepada mereka, supaya memperhambakan diri kepada Allah dan memakmurkan bumi daripada rezeki Allah yang dicari dan dipungut di atas muka bumi dan di dalam perutnya.

Mereka juga dikurniakan jasad, roh dan akal yang memerlukan makanan. Jasadnya diuji supaya makanan halal yang baik dan berpakaian sopan. Aspek rohnya perlu kepada iman dan akhlak yag mulia. Akalnya pula dengan ilmu yang berfaedah dunia dan akhirat.

Apabila rohnya tidak beriman dan budiman, akal disalah gunakan atau menyalahgunakan ilmu, kecerdikan dan harta kekayaannya, maka semuanya tidak berfedah, walaupun sihat tetapi jahat, atau bijak sehingga mencapai harta kekayaan yang melimpah ruah dan kemajuan ilmu teknologi yang tinggi. Semua nikmat itu disalah guna dan tiada faedahnya.

Jelasnya kelihatan terang lagi bersuluh Arab Badwi kini berkuasa dan kaya dengan hasil petroleumnya sehingga berlumba mendirikan bangunan pencakar langit yang mudaratnya lebih besar daripada manfaat, membeli senjata dan menjaga takhta dengan mengganas sesama sendiri dan orang sekelilingnya.

Begitu juga keturunan Koboi di Amerika sama sifatnya dengan Badwi, mendirikan bangunan pencakar langit dan memajukan persenjataan pemusnah yang diharamkan oleh agama dan undang-undang antarabangsa, tetapi diciptanya juga untuk menggerunkan dunia yang hendak dikawalnya semua dan dipilih kalangannya menjadi Presiden, walaupun ada yang bijak disingkirkan.
Rasulullah S.A.W. bersabda kepada sahabat yang meriwayatkan hadis ini:

يوشك إن طالت بك مدة أن ترى قوما في أيديهم مثل أذناب البقر، يغدون في غضب الله، ويروحون في سخط الله. (رواه مسلم)

“Kalaulah umurmu panjang nescaya kamu menyaksikan golongan manusia yang ditangannya cemeti yang memukul laksana ekor lembu (melulu tanpa akal) melakukan kejahatan pada waktu paginya dimurkai Allah dan pada waktu petangnya dilaknat Allah”. (Riwayat Imam Muslim)

Kesemua ciri-ciri tersebut menjadi kelakuan Badwi yang hilang iman dan jati diri Islamnya dan juga Koboi yang tidak mengenal agama dan akhlak.

Paling menarik lagi khidmatnya diambil oleh negara haram Israel yang dipimpin oleh pelampau Yahudi Zionis yang menyembunyikan hasrat Freemason untuk mengembalikan Empayar Nabi Sulaiman A.S. yang beriman dan budiman.

Nabi Sulaiman A.S. itu bukannya seperti Yahudi yang tidak berkelayakkan, kerana Yahudi itu kafir, ganas dan tidak berakhlak. Kini mereka mendapat khidmat Koboi dan Badwi bagi melaksanakan cita-citanya.

Percayalah bahawa dunia akan menyaksikan bencana kemanusiaan yang bukannya fenomena cuaca panas dan sejuk melampau, ledakan gunung berapi dan gempa bumi, tetapi bencana yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri yang menggugat jati diri keimanan, akhlak yang luhur dan keadilan sejagat, yang akan merosakkan keamanan dunia.

Malang sekiranya umat Islam sendiri terikut dengan pihak lain yang tidak beriman dan budiman itu, nescaya mereka terpalit sama dengan kejahatan. Penyakit ini lebih parah kerana pelakunya si Badwi yang disebut oleh Rasulullah S.A.W. dan si Koboi yang disaksikan dalam filem ganas.

Kini diusahakan penubuhan Nato Baru, iaitu gabungan Zionis, Koboi dan Badwi, pakatan ketenteraan yang cuba mempengaruhi negara-negara khususnya negara umat Islam. Alasannya menjaga keamanan dan keselamatan dunia, tetapi sebenarnya menjaga keselamatan Israel yang menjadi imamnya dan telaga minyak yang dikira menjadi talian hayatnya.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Syaaban 1440 / 26 April 2019