Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Islam Memimpin Perpaduan Bangsa Dan Kaum

154 views
SHARE

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN BANGSA DAN KAUM

Tamadun Islam yang lahir bukanlah atas sentimen dan semangat kebangsaan. Islam memimpin manusia yang berlatarbelakangkan pelbagai bangsa dan kaum, mengatasi perbezaan pangkat, kedudukan serta warna kulit. Tamadun Islam adalah berasaskan aqidah yang menyelamatkan manusia seluruhnya.

Tamadun Islam memayungi manusia yang terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk. Penganut agama selain Islam turut berada di bawah Tamadun Islam, mendapat kesejahteraan dan hak mereka tanpa isu diskriminasi atau penindasan. Mereka dapat mengamalkan kepercayaan mereka malah dalam menjaga sensitiviti antara penganut agama, Islam sendiri melarang umatnya mencaci sembahan penganut agama lain. Ini berasaskan firman Allah SWT:

{وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ }

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” [Al-An’am: 108]

Toleransi Islam terhadap penganut agama selainnya memimpin perpaduan dan kehidupan yang harmoni. Ini kerana, perbezaan anutan bukanlah sebab kepada peperangan tetapi ia merupakan prospek dakwah. Islam tidak anti kepada penganut agama lain. Tetapi Islam amat tegas kepada sebarang bentuk penindasan dan kezaliman.

Justeru, larangan kronisme dan perkauman yang disebut dengan asabiyah jahiliyah apabila ia berkompromi dengan kezaliman. Ia dilarang keras oleh Islam kerana kezaliman akan mendatangkan huru-hara dalam kehidupan.

Mereka yang bukan Islam diberikan hak dan kesaksamaan yang sama rata. Mereka tidak dipaksa atas nama syariah kerana mereka tidak beraqidahkan Islam. Malah, boleh kita lihat di zaman Khilafah Utsmaniyyah telah wujud dua mahkamah yang membezakan perbicaraan antara penganut Islam dan penganut selain Islam sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya غير المسلمين في المجتمع الإسلامي. Ini kerana keadilan yang diberikan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bukanlah keadilan itu sebagaimana tafsiran menyeleweng liberalisme iaitu sama rata secara songsang.

Islam tidak mengecualikan hak bukan Islam dalam isu pembelaan dan kebajikan. Mereka layak mendapat hak mereka selagimana itu hak yang sebenarnya. Sebab itu, berbuat baik kepada penganut selain Islam dalam konteks kebajikan adalah disukai oleh Allah secara umum, sebagaimana firman-Nya:

{لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ}

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama, dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [Al-Mumtahanah: 8]

Sehubungan itu, Tamadun Islam sejak daripada dahulu sehingga kini dengan asas ilmu Islam terus memimpin perpaduan di kalangan masyarakat majmuk dan berbilang bangsa. Walaupun fitnah barat dalam memburukkan imej Islam dengan ‘terrorisme’ namun cahaya Islam tidak akan terpadam. Musuh Islam telah gagal menghapuskan jihad dalam diri umat Islam, maka ia berusaha mengotorinya dengan penyelewengan kefahaman atas palitan ‘terrorisme’ dan ia tetap gagal. Ini kerana tunjang Tamadun Islam ialah penghayatan terhadap ilmu.

Dengan mengkaji sumber ilmu Islam, tiada pengkaji yang boleh menafikan Islam dalam memimpin perpaduan dan keharmonian masyarakat yang pelbagai. Sangat jelas bahawa hak-hak penganut selain Islam dipelihara seperti:

1. Terdapat ayat Al-Quran yang melarang menghina dan mencela sembahan penganut selain Islam.
2. Terdapat hadis yang mengancam daripada melakukan kezaliman atau membunuh non muslim yang zimmi dan mu’ahad.
3. Terdapat fakta melalui sejarah pemerintahan Islam yang membela hak penganut selain Islam daripada sudut keselamatan nyawa dan harta.

Sebaliknya apa yang berlaku, masyarakat muslimlah yang selalu menjadi mangsa di bawah pemerintahan bukan Islam yang ekstrim. Dahulu pernah terjadinya pembunuhan masyarakat cina Muslim dalam peperangan Candu semasa Tamadun China. Dan kini isu yang tidak berkesudahan iaitu pembantaian umat Islam di Palestin dan etnik Rohingya.

Justeru, keganasan itu bukan daripada Islam. Malah Islam adalah agama sejahtera dan memimpin kesejahteraan. Inilah yang selalu diungkapkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam tawaran Baginda SAW iaitu:

«أَسْلِمْ تَسْلَم»

Maksudnya: “Islamlah kamu, nescaya kamu selamat sejahtera (dunia dan Akhirat).”

Insiden keganasan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman Derasthanam, Subang Jaya adalah suatu kejadian yang sangat disanggah dalam Islam. Dewan Ulamak PAS Pusat berharap orang ramai bertenang dan beri kepercayaan kepada pihak kerajaan Negeri Selangor serta PDRM untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden berkenaan. Mereka yang terlibat hendaklah diambil tindakan undang-undang dan elakkan sebarang provokasi serta hasutan antara kaum dalam isu ini.

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
KETUA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT