Home Minda Presiden

Islam Memimpin Masyarakat Majmuk

152 views
SHARE

Minda Presiden PAS

ISLAM MEMIMPIN MASYARAKAT MAJMUK

Firman Allah:

الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40)

“Iaitu mereka yang diusir daripada kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan Kami ialah Allah”. dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang kalangan pelampau setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan, gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), serta juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat Lagi Maha Kuasa.” (Surah Al-Hajj: 40)

Nabi Muhammad S.A.W. bukan sebarang Rasul yang memimpin, kerana istiqamah menegakkan Islam, Baginda S.A.W menolak tawaran menjadi ketua negara yang bergelar raja, bersama tawaran kekayaan harta dan pangkat paling tinggi.

Baginda S.A.W. terpaksa melakukan Hijrah ke Madinah apabila penduduknya menerima Islam dan kuasa pemerintahannya. Maka dibuktikan bahawa Islam yang sempurna memerintah negara, bukan sahaja bercirikan agama seperti yang difahami oleh kalangan yang jahil.

Bahkan dibuktikan bahawa Islam yang sebenar berpandukan Al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W. berbeza dengan agama dan ideologi lain kerana Islam sifatnya bukan sahaja dalam aspek agama yang sempit atau memaksa penganut agama lain dan bangsa yang berbeza sehingga berlaku zalim, membunuh dan memusnahkan rumah ibadat yang berlainan sewenang-wenangnya, kerana Islam menerima masyarakat madani yang majmuk berbagai agama dan bangsa serta mewajibkan adil terhadap semua.

Sebelumnya, berlaku pertembungan berbagai agama dan bangsa, sehingga membunuh kerana paksaan beragama dan memusnahkan rumah-rumah ibadat kerana perbezaan agama walaupun dalam satu bangsa dan negara.

Islam mempunyai ajaran yang konsisten dalam aspek kehidupan bermasyarakat yang berkait dengan politik, ekonomi dan hubungan bermasyarakat yang mewajibkan adil terhadap semua. Di mana perkara yang dinamakan agama, budaya dan adat resam tidak dipaksa, bahkan dihormati.

Islam menunjukkan secara praktikal dalam negara awalnya pada zaman Rasulullah S.A.W. di Madinah dan zaman Khulafa’ Rasyidin R.A. yang lebih luas dan besar majmuknya.

Kalangan bukan Islam di Madinah menerima Rasulullah S.A.W. menjadi ketua negara yang memerintah dengan hukum Islam, tidak seperti kalangan pelampau bukan Islam di Makkah, walaupun mereka itu satu bangsa dan satu keluarga dengan Rasulullah S.A.W.

Banyak contoh peristiwa menarik menjadi teladan dalam aspek hubungan yang adil dan harmoni dalam kehidupan bermasyarakat. Agama Islam menunjukkan batas dan sempadan terhadap penganut agama lain. Di antarannya tidak dipaksa dalam perkara yang diharamkan oleh agama Islam terhadap perkara yang diizinkan oleh agama lain seperti makanan, pakaian, perkahwinan, berkeluarga dan hidup bermasyarakat.

Selain itu juga, Al-Quran memerintahkan supaya umat Islam menjaga sensitiviti penganut agama lain yang boleh menimbulkan ketegangan, di samping membenarkan dialog secara bijaksana dengan hujah.

Firman Allah:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (108)

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al- An’aam: 108)

Firman Allah:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ (125(

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (Surah An-Nahl: 125)

Allah juga mewajibkan penganut Islam beristiqamah dengan Islam dan melarang terpengaruh sehingga meninggalkan ajaran Islam, sebagaimana dinyatakan dalam ayat-ayat yang banyak.

Firman Allah:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (153)

“Dan bahawa sesungguhnya Inilah jalanKu (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertaqwa” (Surah Al- An’aam: 153)

Allah juga berfirman:

عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً ۚ وَاللَّهُ قَدِيرٌ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (7) لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9)

“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani. (7) Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana Agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana Agama (Islam), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim). (9) (Surah Al-Mumtahanah: 7-9)

Rasulullah S.A.W. menunjukkan garis panduan yang nyata bagaimana batas sempadan yang wajib dipelihara dalam masyarakat majmuk. Di antaranya tidak melarang mengambil ilmu dunia yang memberi manfaat daripada bukan Islam dan melarang meniru cara ibadat, penghormatan dan pakaian yang bersifat keagamaan yang berbeza dengan Islam. Inilah sempadannya.

Rasulullah S.A.W. mengizinkan bermuamalah perniagaan dan perdagangan di pasar Madinah dan berdiri bangun menghormati jenazah bukan Islam yang lalu, namun melarang hormat yang bersifat keagamaan seperti rukuk, sujud dan lain-lain yang berlambangkan keagamaannya. Namun, dibenarkan berpakaian apa sahaja yang menutup aurat dan menjaga maruah yang tidak bersimbolkan agama lain, atau makanan halal berbagai bangsa.

Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A. mengunjungi gereja Bait Al-Laham, tempat nabi Isa A.S. dilahirkan di Palestin. Apabila tiba waktu solat, paderi besarnya meminta Khalifah Umar sembahyang di dalam gereja, lantas Saidina Umar menjawab dengan bijaksana: “Tidak wajar bagi Umar sembahyang di sini, nanti penganut Islam membina Masjid di sini”. Lalu Umar keluar sembahyang di luar gereja.

Kisah Imam Abu Bakar Al-Baqillani )338-402H / 950-1031M), tokoh ulama terkenal mengetuai rombongan negara Islam di zamannya untuk berunding dengan seorang raja bukan Islam (Kristian Ortodoks) di Asia Tengah yang menetapkan setiap yang menghadapnya supaya rukuk menyembahnya, iaitu satu cara yang diharamkan oleh Islam.

Raja itu mengarahkan supaya dibina di hadapannya pintu yang rendah sehingga terpaksa rukuk apabila menghadapnya dengan tujuan memaksa rombongan Islam rukuk di hadapannya. Tiba-tiba Imam Abu Bakar Al-Baqillani yang bijak itu mamalingkan belakang dan mendahulukan punggungnya ke arah raja itu.

Inilah contoh seorang pemimpin yang beristiqamah pegangan agama Islamnya sehingga dihormati oleh bukan Islam yang masih bermusuh terhadapnya. Sehingga kini, kaum bukan Islam boleh hidup dengan aman dan penuh harmoni di tengah masyarakat Islam yang besar jumlahnya.

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 24 Muharam 1440 / 4 Oktober 2018