Home Berita PAS Terengganu

Islam ditakuti kerana adilnya

79
SHARE

Sebenarnya apa yang dijadikan hujah oleh pembawa agenda Islamofobia hanyalah suatu propaganda yang akan terhapus sendiri apabila semua pihak mengkaji ajaran Islam secara jujur dan menyeluruh. Lebih nyata lagi, apabila Islam berpeluang dilaksanakan dalam lapangan politik berkuasa memerintah negara.

Kepada semua pengkaji ajaran Islam dengan ikhlas telah menegaskan bahawa yang ditakuti itu apabila Islam membawa tiga konsep yang berjaya mempengaruhi hati manusia setelah ia dilaksanakan.

Pertama: Tiada paksaan dalam beragama.
Kedua: Adil kepada seluruh manusia tanpa mengira agama yang dianuti dan bangsanya.
Ketiga: Politik berkuasa memerintah negara.

Ketiga-tiga konsep ini bertepatan dengan perintah Allah SWT dalam kitab suci al-Quran dan amalan Nabi Muhammad SAW yang wajib dilaksanakan.

Konsep Pertama: Tiada Paksaan Dalam Beragama

Konsep ini telah dinyatakan oleh al-Quran melalui firman Allah SWT:

﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ٢٥٦﴾

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Oleh sebab itu, sesiapa yang ingkar kepada taghut (pelampau) dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang amat kuat dan tidak akan terburai. Dan Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 256)

Firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَأٓمَنَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِيعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ٩٩﴾

“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang ada di muka bumi seluruhnya. Maka, apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Surah Yunus: 99)

Firman Allah SWT:

﴿وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّـٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا٢٩ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ وَعَمِلُوا ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجۡرَ مَنۡ أَحۡسَنَ عَمَلًا٣٠﴾

“Dan katakanlah, ‘Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu; maka sesiapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang ingin (kafir); maka biarlah dia kafir.’ Sesungguhnya, Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka mereka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelik. (29) Sesungguhnya, mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalannya yang terbaik. (30)” (Surah al-Kahf: 29-30)

Menganut Islam itu mestilah beriman dengan rela hati dan ikhlas. Adapun sebarang paksaan hanyalah mencipta kepura-puraan dan tidak ikhlas, yang dinamakan juga sebagai munafiq.

Rasul yang membawa Islam pula diketahui sifatnya yang mulia oleh mereka yang menyaksikannya dan Allah SWT mengurniakan akal kepada manusia agar mampu berfikir dengan baik.

Walaupun dalam keadaan Islam itu kuat dan menang berkuasa, konsep tiada paksaan tetap dilaksanakan. Dalam pada itu, orang bukan Islam pula diberikan kebenaran menjadi rakyat di bawah kerajaan Islam, dalam keadaan diberikan kebebasan beramal dengan ajaran agama masing-masing termasuk dalam perkara yang diharamkan oleh Islam. Maka, mereka melihat perbandingannya secara nyata.

Pernah berlaku selepas Islam mencapai kemenangan yang besar, seorang panglima Islam yang terkenal Khalid bin al-Walid RA telah bertindak membunuh seorang tawanan Bani Juzaimah kerana tidak mengucap dua kalimah syahadah bagi menandakan keislamannya, maka dibayar pampasan kepada keluarga mangsa dan dibayar ganti rugi terhadap harta yang dimusnahkan. Bandingkan pula dengan kuasa besar yang boleh bertindak apa sahaja terhadap negara kecil tanpa dibawa ke pengadilan Mahkamah Antarabangsa.

Islam juga memberikan perlindungan kepada golongan bukan Islam yang datang menjadi pelarian kerana dizalimi dalam negara mereka sendiri. Perkara ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ٦﴾

“Dan jika seseorang antara orang-orang Musyrikin (bukan Islam) itu meminta perlindungan kepadamu, maka berikanlah perlindungan kepadanya, supaya dia sempat mendengar firman Allah (mengenali Islam), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” (Surah al-Tawbah: 6)

Islam telah mendahului piagam antarabangsa dalam memberi perlindungan kepada pelarian daripada negara yang zalim, tanpa dipaksa mereka memeluk Islam. Mereka dilindungi bukan dengan cara terpilih, sama ada pelarian itu berkemahiran atau tidak, namun tetap menyelamatkan mereka atas konsep kemanusiaan. Adapun banyak negara hari ini memilih pelarian yang mempunyai kemahiran sahaja.

Islam mendahulukan perdamaian dalam hubungan antarabangsa dan juga antara kaum. Firman Allah SWT:

﴿وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١﴾

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka engkaulah condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Tuhan yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 61)

Islam memberi kebenaran kepada kalangan bukan Islam dari negara lain yang tidak ada hubungan diplomatik dengan aman, kerana tujuan perniagaan dan sebagainya dengan menetapkan syarat syaratnya.

Islam lebih mengambil pendekatan secara dialog dan perdebatan dalam mencari kebenaran secara damai. Firman Allah SWT:

﴿ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥﴾

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pelajaran yang baik dan berdialoglah dengan mereka itu dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl: 125)

Rakyat daripada kalangan bukan Islam diberikan hak untuk hidup secara bermasyarakat majmuk, melibatkan diri dalam semua urusan termasuk politik, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan yang lain dengan syarat hendaklah Islam memimpin.

Keadaan ini dapat disaksikan dalam negara yang bertukar menjadi Islam seperti Mesir, Syria, Iran dan lain-lain yang masih ada penganut bukan Islam dan rumah-rumah ibadat yang ada sebelum kedatangan Islam. Hal ini sekali gus menjadi bukti bahawa tiada paksaan terhadap penganut agama lain.

Konsep Kedua: Adil Terhadap Semua

Konsep ini pula ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar dalam semua perkara dan dari segala aspek. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah kepada mereka yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Pada masa yang sama, diwajibkan berlaku adil juga terhadap musuh. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Adil itu merangkumi segala aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan, sama ada dalam negara dan juga hubungan antarabangsa.

Hasil hubungan yang baik berkonsepkan adil, telah mencipta Hadarah Islamiah (Tamadun Islam) apabila golongan yang bijak pandai dan ilmuwan daripada pelbagai tamadun timur dan barat yang pernah dizalimi diberikan layanan yang baik. Ketika para cerdik pandai daripada berbagai-bagai negara menjadi mangsa kezaliman kerana dianggap mencabar kuasa kerajaan, Islam membawa satu slogan yang dinyatakan melalui sabda Rasulullah SAW:

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ، فَحَيْثُ وَجَدَهَا، فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

“Hikmah kebijaksanaan itu merupakan barang yang hilang kepunyaan orang yang beriman, di mana sahaja dia dapatinya; maka dialah paling berhak mengambilnya.” (Riwayat al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2687)

Kalangan cerdik pandai dan ilmuwan diberikan tempat yang mulia kerana sabda Rasulullah SAW:

‌خِيَارُكُمْ ‌فِي ‌الْجَاهِلِيَّةِ، ‌خِيَارُكُمْ ‌فِي ‌الْإِسْلَامِ، ‌إِذَا ‌فَقِهُوا.

“Kamu yang terpilih pada masa jahiliah, juga terpilih bersama Islam apabila mereka faham berkenaan Islam.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, No. 4689, Muslim, Kitab al-Fada’il, No. 2378 dan Ahmad, Musnad Abi Hurairah, No. 10295. Lafaz bagi Ahmad)

Selain itu, Islam juga menegaskan bahawa semua orang berada di bawah undang-undang termasuk juga ketua negara. Firman Allah SWT:

﴿فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Termasuklah diri Nabi Muhammad SAW sewaktu Baginda menyampaikan ucapan ketika sedang sakit sebelum kewafatannya:

‌فَمَنْ ‌كُنْتُ ‌جَلَدْتُ ‌لَهُ ‌ظَهْرًا ‌فَهَذَا ‌ظَهْرِي ‌فَلْيَسْتَقِدْ مِنْهُ، وَمَنْ كُنْتُ شَتَمْتُ لَهُ عِرْضًا فَهَذَا عِرْضِي فَلْيَسْتَقِدْ مِنْهُ، وَمَنْ كُنْتُ أَخَذْتُ لَهُ مَالًا، فَهَذَا مَالِي فَلْيَسْتَقِدْ مِنْهُ.

“Sesiapa yang pernah aku pukul belakang badannya, maka ini belakang badanku, ambillah peluang untuk membalasnya. Sesiapa yang pernah aku cerca akan maruahnya, maka inilah maruahku dan balaslah cercaan itu. Sesiapa yang pernah aku ambil akan hartanya, maka inilah hartaku dan ambillah daripadanya harta itu.” (Riwayat al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Awsat, No. 2629)

Islam telah mendahului mana-mana pihak dalam melaksanakan konsep pemisahan kuasa antara institusi kehakiman dalam pentadbiran negara sejak Nabi Muhammad SAW serta zaman para khalifah dan raja-raja yang beramal dengan Islam. Semuanya berada di bawah undang-undang tanpa mempunyai kekebalan apabila berlaku zalim, sekali pun terhadap kalangan bukan Islam.

Dalam aspek ekonomi pula, Islam telah menghapuskan konsep hak pemilikan yang zalim sehingga membelenggu masyarakat pada zaman penguasaan golongan feudal yang bermaharajalela, namun Islam tidak menafikan hak pemilikan individu dengan kawalan tanggungjawab kemasyarakatan. Inilah konsep wasatiyyah yang membezakan antara Islam dengan liberal kapitalisme dan sosialisme.

Kini, dunia sedang menyaksikan kejatuhan sosialisme dan tanda merudumnya liberal kapitalisme, sehingga menyebabkan Islam pula dihalang kebangkitannya.

Ketiga: Politik Bernegara

Pelaksanaan Islam yang sempurna mewajibkan perkara ketiga iaitu adanya kuasa politik memerintah negara yang dipimpin oleh Islam.

Firman Allah SWT:

﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ وَعَمِلُوا ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيْـًٔا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٥٥﴾

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan juga mengerjakan amal-amal yang soleh; bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi (politik memerintah negara), sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah al-Nur: 55)

Bermula dengan tindakan Rasulullah SAW yang mengambil langkah untuk menyatukan bangsa Arab bagi membina kekuatan kuasa bangsa yang memimpin negara, dengan melakukan hijrah ke Yathrib atau Taibah (nama asalnya). Seterusnya, mengumpulkan kekuatan bangsa Arab dan menukar nama tempat kepada Madinah bagi melaksanakan konsep madani yang beriman, berilmu, beramal soleh dan berakhlak (bukan nama madani yang kosong). Perkara ini berpandukan peta jalan (road map) yang disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali karena mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang sentiasa disebut di dalamnya nama Allah sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (berkuasa); nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” (Surah al-Hajj: 40-41)

Islam berkuasa berprinsipkan beriman dan beramal soleh (berakhlak mulia) dalam hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia, ekonomi yang adil, kehebatan undang-undang dan berwawasan akhirat.

Mengambil langkah perpaduan umat yang meneguhkan kuasa dengan peringatan daripada Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (pada masa jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena ni‘mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. (103) Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada perkara yang mungkar; dan merekalah orang-orang yang berjaya. (104)” (Surah Ali ‘Imran: 103-104)

Melaksanakan kebajikan Islam yang sempurna, kuasa memerintah negara berkebajikan dan kehebatan undang-undang syariat dengan tafaqquh (kefahaman dan kebijaksanaan).

Terbukti pelaksanaan Islam yang sempurna keadilannya dijadikan penyelamat daripada kezaliman, bukannya dijadikan penjajah. Hal ini menyebabkan ramai yang menerima Islam tanpa paksaan, sama ada memeluk Islam atau reda bersama kerajaan Islam.

Pelaksanaan yang sempurna juga mewajibkan adanya kekuatan kuasa politik untuk memerintah negara. Kata Khalifah ‘Uthman RA:

‌ إِنَّ اللَّهَ ‌لَيَزَعُ ‌بِالسُّلْطَانِ مَا لَا يَزَعُ بِالْقُرْآنِ.

“Sesungguhnya, Allah menjadikan kuasa pemerintah berjaya menyelesaikan masalah mereka yang tidak mengikuti perintah al-Quran (dengan sekadar membacanya sahaja).” (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 2, Hlm. 301)

Bagi menegakkan kuasa pemerintahan Islam, bangsa Arab yang berpecah-belah disatukan terlebih dahulu. Kemudiannya, dibina persaudaraan antara Muhajirin dengan Ansar dan diberikan pengampunan secara beramai-ramai terhadap pemimpin Makkah yang pernah menzaliminya. Maka, adanya kumpulan yang berkuasa politik bagi melaksanakan Islam bersama bangsa yang bersatu padu.

Rasulullah SAW memberikan wasiat yang panjang ketika pelaksanaan Haji Wada‘ (selamat tinggal) tentang betapa pentingnya perpaduan umat. Antaranya, sabda Baginda SAW:

‌لَا ‌تَرْجِعُوا ‌بَعْدِي ‌كُفَّارًا، يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ.

“Janganlah kamu menyeleweng selepas aku wafat, sehingga kamu berpecah-belah dan berperang sesama sendiri.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Fitan, No. 7080, Muslim, Kitab al-Iman, No. 65, dan lain-lain perawi)

Bahkan, Allah SWT juga memberi amaran kepada bangsa Arab daripada kalangan generasi awal, sekiranya mereka terpesong daripada Islam dengan firman-Nya:

﴿وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

“Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)

Apabila bangsa Arab berpecah-belah, maka bertukar kepada bangsa lain yang menganut Islam silih berganti mengambil alih kepimpinan Islam.

Kini, pengaruh ajaran Islam telah memasuki ke dalam negara yang melaksanakan pendekatan Islamofobia bagi menyekat kebangkitan semula kuasa politik Islam, kerana pengaruh Islam berjaya menembusi kawalan dan sekatan negara yang bermusuh itu dan kekurangannya hanyalah kerana tiada kuasa politik.

Adanya pula usaha untuk menggagalkan pendekatan menyatukan umat dalam negara umat Islam apabila dilaksanakan pendekatan yang sama ketika mereka menjajah dahulu dengan polisi ‘divide and rule’ (pecah dan perintah). Malangnya, mereka telah berjaya menggunakan orang Islam menjadi buah catur perpecahan. Falsafah menggunakan kayu bersama besi mata kapak bagi menebang pokok dan ada dalam kalangan Melayu sendiri menjadi kayu yang diperalatkan.

Bangsa Melayu yang Islam ini betapa rapatnya bersama Islam, sehingga semua Muslim itu dinamakan Melayu tanpa mengira bangsa dan kaumnya. Malah, sehinggakan semua yang memeluk Islam dikatakan masuk Melayu dan Melayu yang murtad bukan Melayu lagi.

Oleh itu, menjadi kewajipan besar kepada bangsa Melayu yang dikurniakan Islam ini mengambil gilirannya bersatu memimpin umat bagi mendapatkan kuasa politik memerintah negara. Jika tidak, maka terimalah hukuman Allah yang akan memusnahkan mereka.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong usaha bagi menyatukan bangsa Melayu bukan kerana fanatik perkauman atau rasis, tetapi bertujuan meletakkan Melayu Islam ini wajib memimpin kerana aqidahnya. Dan mereka itulah tuan punya sebenar tanah air ini, bukannya pendatang yang telah ada negara asal masing-masing.

Ambillah teladan Rasulullah SAW yang telah menyatukan kaumnya dan bangsa Arab dahulu, walaupun kerasulannya kepada seluruh manusia. Kemudian, perpaduan itu diikuti dengan berbagai-bagai bangsa yang menganut Islam dan diikuti kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Perpaduan itu diteguhkan dengan hijrah yang menyatukan Muhajirin dan Ansar (Aus dan Khazraj), seterusnya dijinakkan dengan diberikan pengampunan secara beramai-ramai ketika peristiwa Fathu Makkah.

Firman Allah SWT:

﴿لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا٢١﴾

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang sentiasa mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat; dan dia pula banyak menyebut-nyebut (mengingati) Allah.” (Surah al-Ahzab: 21)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 28 Zulhijjah 1444 / 17 Julai 2023

[Bil: 57 / 2023]