Oleh IBNU JANIE
HANG TUAH JAYA, 8 Jan : Semua pihak di dalam PAS dan Perikatan Nasional (PN) Melaka harus terlibat dan berganding bahu mengisi kemenangan yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lepas dan bukan hanya tanggungjawab wakil rakyat yang telah terpilih sahaja.
Menurut Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, ini adalah bagi memastikan kemenangan ini dapat dikekalkan selain untuk memastikan PN dapat menawan Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 16 nanti.
“Allah SWT telah memberi kita kemenangan di Tangga Batu dan Jasin. Yang menjadi cabaran kita pada kali ini ialah bagaimana kita nak mengekalkan kemenangan ini dan kita mengembangkan kemenangan ini supaya tempiasnya dapat dirasakan di Alor Gajah, dapat dirasakan di Kota Melaka, dapat dirasakan di Hang Tuah Jaya.
“Maka sebab itu bagi saya kemenangan kita ini adalah tanggungjawab semua kita. Tak boleh kita biarkan Tuan Guru seorang diri terkontang-kanting di Jasin dan saya seorang diri di Tangga Batu, tak boleh.
“Setiap dari kita harus bertanggungjawab untuk menjaga kemenangan ini dan mengisi kemenangan ini supaya rakyat lebih yakin kepada kita bahawa PNlah parti yang mampu untuk membentuk kerajaan pada PRU ke 16 nanti,” ujar beliau.
Bakri yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka menambah, kemenangan kembar yang diperolehi oleh PAS di Parlimen Jasin dan Tangga Batu adalah kurniaan Allah SWT apabila memenuhi syarat kemenangan.
Tambah beliau lagi, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri selalu mengingatkan bahawa kemenangan yang terbaik ialah dengan menghidupkan program-program ilmu yang dapat memberi kesedaran kepada masyarakat secara kekal tentang politik Islam.
Katanya, kemenangan yang diperolehi ini juga hasil daripada percambahan program-program ilmu yang diasaskan semenjak orang-orang terdahulu di dalam PAS dan diteruskan oleh tokoh-tokoh pimpinan PAS pada masa kini.
Mengulas tentang sokongan anak muda terhadap PN pada PRU-15 lepas, Bakri berkata, ia sebenarnya berpunca daripada pendirian anak-anak muda pada hari ini yang meletakkan Islam sebagai keutamaan.
“Bila habis PRU, saya tanya anak-anak saya apa faktor anak-anak muda memilih PN dalam PRU lepas. Mereka jawab sebenarnya pengaruh penceramah-penceramah bebas seperti Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Wadi Annuar, Tuan Guru Zainul Asri dan banyak lagi tokoh sebagainya memainkan peranan yang besar untuk membentuk pola pemikiran kami, kata mereka pada saya.
“Walaupun kami tak pergi masjid, kata mereka, walaupun kami ni anak muda yang ‘loklak’ tetapi tidak mungkin kami buang agama kami,” ujar beliau.
Beliau turut menceritakan perbualan beliau dengan seorang wanita muda yang merupakan pakar Teknologi Maklumat (IT) yang turut meluahkan perkara yang sama.
“Dia (wanita muda itu) pakai, biasalah, seluar ketat, tapi pakai tudung. Dia kata, ‘saya pun undi PN’. Saya tanya kenapa undi PN? Sebab, katanya, kita melihat walau apa pun terjadi, bila cakap soal Islam, kita masih ada rasa kasih dan cinta pada agama kita.
“Maka, kata wanita itu, kita melihat satu-satunya gabungan parti politik yang boleh memelihara Islam ialah PN katanya. Ini kita dengar daripada anak muda,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berceramah di dalam majlis ceramah politik pasca PRU15 anjuran PAS Kawasan Hang Tuah Jaya yang berlangsung di Dewan Muallim di sini, malam tadi (Sabtu, 7 Januari).
Program ini menampilkan aktivis Parti BERSATU, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali dengan panggilan Che’gu Bard sebagai penceramah utama dengan Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris dan Yang Dipertua PAS kawasan, Ramli Dalip turut berucap dalam majlis tersebut.
Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.
Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.
Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.
Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.
Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.
JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH