Oleh: Mawaddah Mohd / Hanif levi
HULU TERENGGANU, 5 Julai – Kampung Kuala Por dan Kampung Pasir Nering akan terhubung semula dengan pembinaan jambatan baharu yang akan dibangunkan dalam tempoh terdekat bagi menggantikan jalan lama yang telah runtuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, pihaknya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah akan menyelesaikan pembinaan jambatan itu secepat mungkin yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM 6 juta dari peruntukan kerajaan negeri.
“Cadangan pembinaan jambatan baharu ini akan diambil alih oleh kontraktor sebelum akhir Julai ini bagi pembinaan tapak dan dijangka siap pada tahun 2023.
“Jalan yang runtuh ini berpunca daripada calvert yang roboh menyebabkan laluan dari Kuala Por ke Pasir Nering dan Kampung Dusun terjejas teruk sehingga tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak jambatan baru itu di Kg Kuala Por, semalam.
Menurut beliau yang juga EXCO kerajaan negeri, anggaran panjang jambatan tersebut adalah 40 Meter manakala tinggi jambatan tersebut pula lebih kurang 20 Meter dari aras air.
“Pihak saya tahu bahawa penduduk sukar bergerak tanpa laluan ini.
“Semoga pembinaan jambatan baharu dapat memudahkan perhubungan penduduk sekitar kawasan ini,” katanya.