Home Artikel PAS Wilayah

Insiden Lebuhraya SUKE, Tindakan Segera Perlu Diambil

261
SHARE

Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

 

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius berkenaan insiden tembok sisi jambatan yang terjatuh daripada struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghempap sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita.

DPPWP berpandangan isu ini perlu diambil tindakan segera dan kesedaran oleh beberapa pihak;

1. Kuatkuasakan undang-undang sedia ada.
Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (JKKP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hendaklah mengkaji semula akta keselamatan sebelum, semasa dan selepas di tempat kerja selari dengan objektif penubuhan Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) sebagai usaha berterusan oleh kerajaan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja terjamin.

Menurut Seksyen 19, penalti jika disabit kesalahan adalah tidak melebihi RM50,000 atau Penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya. Hukuman ini wajar dipertingkatkan agar pemaju dan kontraktor lebih bertanggungjawab keatas keselamatan nyawa pekerja, orang sekeliling dan harta benda.

2. Kualiti rekabentuk dan prosedur berkerja di tempat kerja.
Jurutera bersama Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerja memainkan peranan penting dalam memantau dan meneliti struktur rekabentuk binaan yang diterima daripada pembekal adalah diluluskan mengikut spesifikasi dan kontrak.

Seterusnya, pemasangan oleh kontraktor perlu mematuhi garis panduan kerja dan kaedah pemasangan yang sesuai selaras dengan latihan kawal selia dan pentauliahan yang telah diberikan.

3. Peranan Orang Awam
Orang ramai hendaklah sentiasa berhati-hati ketika melalui lebuhraya yang masih di dalam fasa pembinaan. Sentiasa peka dan boleh menyalurkan info kepada pihak berkenaan sekiranya terdapat sebarang bahaya yang mungkin berlaku.

DPPWP turut bersimpati terhadap mangsa atas kemalangan yang berlaku.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam membantu mangsa.

Harapan besar kita semua agar insiden seperti ini tidak berulang lagi di mana-mana tapak pembinaan.

Safety First !!

Mohammad Rashidi Abdul Razak
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

21 September 2020

#PemudaPAS
#MemimpinNegara