Home Berita PAS Terengganu

Ingat polis mari nak ‘Igak’ tapi rupanya bagi bantuan

53
SHARE

HULU TERENGGANU, 7 Julai – “Semalam semasa lima orang polis datang ke rumah, mati-mati saya ingat nak tangkap saya walaupun saya tak tahu apa salah saya, tetapi rupanya nak bagi bantuan,” kata Omar Yusof, 60.

Dia yang tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Gaung Pecung selepas berpisah dengan isterinya kini hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Terima kasih sangat kepada pihak polis sebab bagi bantuan, sungguh tidak sangka mereka pun bantu sama macam orang lain.

“Memang pernah terputus makanan kadang-kadang bekalan barangan keperluan harian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini, sukar untuk saya bekerja,” katanya.

Omar juga merupakan orang kurang upaya kerana mengalami masalah pendengaran kerana cedera di gegendang telinga akibat dihempap pokok ketika bekerja sebagai penebang balak 20 tahun lalu.

Dia merupakan antara 10 penerima bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu dijayakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) serentak di seluruh negara hari ini.

Seorang lagi penerima, Rafeah Ahmad, 76, berkata dia juga terkejut apabila melihat polis datang menghantar bantuan makanan kerana selama ini, berpandangan polis hanya tangkap orang salah.

“Terima kasih sebab ringankan beban kami sekeluarga terutama anak mak cik yang hanya bekerja sebagai operator di sebuah kilang di kawasan perindustrian Ajil.

“Biasa sangat dah dapat bantuan bakul makanan seperti tapi kali ini lain sikit sebab daripada anggota polis, rasa macam istimewa,” katanya yang kini tinggal bersama menantunya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata sebanyak 300 bakul makanan seperti beras, teh, gandum, gula dan barangan keperluan lain bernilai RM50 disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Setiap bakul makanan bernilai RM50 dengan peruntukan sebanyak RM15,000 setiap daerah yang kita akan agihkan secara berperingkat

“Mereka yang terpilih adalah nama yang dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mana kita juga akan lakukan siasatan bagi memastikan penerima-penerima memang memerlukan bantuan,” jelasnya lagi.

Op Bantu adalah inisiatif KDN bagi membantu meringankan beban keluarga tidak berkemampuan yang terkesan akibat PKP.