Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

IMAMS: Langkah Tepat Batalkan Serta Merta.

1209
SHARE

IMAMS: Langkah Tepat Batalkan Serta Merta.

Dewan Muslimat PAS Malaysia, DMPM membantah Integrated Manasik Monitoring System atau Sistem Manasik Bersepadu (IMAMS) sebagai akses rasmi tunggal bagi permohonan visa umrah untuk rakyat Malaysia. Pembatalan serta merta adalah langkah yang sangat tepat.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam kenyataan terbarunya 16 Disember lalu telah mengumumkan pembatalan pelaksanaan IMAMS. Namun, timbul pula pelbagai spekulasi dari semua segenap penjuru sama ada daripada pihak kerajaan, badan swasta, NGO mahupun individu mula mempersoalkan isu ini.

DMPM percaya wujud pihak yang ingin mengambil peluang dalam pelaksanaan Sistem IMAMS. Kami berpendirian bahawa pelaksanaan IMAMS tidak perlu dilaksanakan kerana agensi pelancongan berstatus muassasah yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) sudah cukup untuk membanteras aktiviti penipuan pakej umrah di negara ini.

Sebanyak 65 agensi pelancongan berstatus muassasah hanya segelintir sahaja yang bersetuju dengan penggunaan IMAMS. Kes-kes penipuan pakej umrah semakin hari semakin menjadi-jadi.

Walaubagaimanapun, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) juga telah memperkenalkan Lesen Khas Umrah (LKU) serta penglibatan Majlis Kawalan Selia Umrah (MKSU) dan 13 agensi utama yang terlibat perlu lebih mempergiatkan lagi usaha membanteras dan mengurangkan risiko kes-kes penipuan ini dari terus berleluasa.

Besar harapan daripada DMPM agar orang ramai lebih berhati-hati dalam memilih agensi pelancongan umrah yang berdaftar dan sah serta semua pihak yang berkepentingan tidak mengambil peluang ke atas mana-mana pihak yang lemah dan teraniaya.

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat”. Hadis Riwayat Muslim.

“Sejahtera Bersama Islam”

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 Rabiul Awwal 1439H
19 Disember 2017