Home Berita PAS Perak

Ikhlaskan perjuangan kerana Allah SWT

45
SHARE

Oleh : Saiful Islam Abd Rahman
12 Februari 2024

MALIM NAWAR: PAS Kawasan Kampar telah mengadakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Cawangan-Cawangan bertempat di Dewan Hj. Khusaini di sini kelmarin.

Majlis yang menghimpunkan seluruh pimpinan cawangan daripada 24 cawangan PAS Kampar itu telah dirasmikan oleh YB Ust Noor Najhan Salleh, ADUN Sementa merangkap Pengarah Jabatan Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat.

Dalam ucapannya, YB Ust Noor Najhan Salleh telah mengingatkan bahawa segala gerak kerja jemaah mesti dibuat secara berjemaah kerana majikan kita bukan Yang Dipertua kawasan atau Tuan Guru Presiden, tetapi kita berjuang adalah semata-mata kerana Allah SWT.

“Perjuangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam yang lahir daripada kekuatan aqidah dan fikrah serta terbina di atas kelestarian tarbiyah. Oleh itu, setiap komponen dalam tarbiyah seperti usrah perlu dilaksanakan secara konsisten di semua peringkat. Kekuatan program tarbiyah sangat penting dalam PAS kerana kerana tanpa tarbiyah akan hilanglah kesatuan, wala, taat dan pergorbanan dalam perjuangan menegakkan Islam.” tambah beliau lagi.

Beliau turut menekankan peri penting gerak kerja berfokus bermula daripada peringkat cawangan kerana cawangan adalah tunjang kekuatan PAS, oleh itu setiap ahli perlu berperanan menghidupkan PAS di cawangan masing-masing.

Selain itu, Yang Dipertua PAS Kampar, Ust Mohd Sofian Hj.Rejab pula mengharapkan semua ahli dapat melanggan kad SIM SMARTPAS (SMART-i) sebagai medium menyalurkan sumbangan secara terus daripada ahli kepada PAS. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kad SIM SMARTPAS, semua ahli PAS Kampar boleh berhubung dengan Ust Khairul Alimi di talian 018-9294808.