Home Rencana PAS Selangor

Ikat penyatuan ummah bersama agenda Tuan Guru – KPen PAS Selangor

47
SHARE

May be an image of 3 people, people standing and text that says "YBDato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Duta Khas Perdana Menteri Timur Tengah"

Dari Meja Ketua Penerangan PAS Selangor | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Syarhan Humaizi Halim
Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor

Gagasan Penyatuan Ummah dan idea politik semasa yang dibawa Tuan Guru kadang-kadang di luar jangkaan kebanyakkan orang. Masing-masing samada dari luar PAS malah dalam kalangan ahli PAS sendiri ibarat “terlepas kapal” jika tidak mengikuti dan mengamati dari dekat perjalanan dan hala tuju Tuan Guru.

Pun begitu, ada yang sudah mengikuti rapat bahkan diberikan kepercayaan oleh Tuan Guru akan tetapi tersasar dari radar dek kerana punyai agenda dan kemahuan sendiri. Ayah sendiri dilihat orang asing, perantau musafir lalu di layan seakan mereka yang mengazankan ke telinga ketika saat dilahirkan.

Sejak dari idea UG, Kerajaan Teknokrat, BPMS, Muafakat Nasional, Perikatan Nasional sehingga ke hari ini dalam ‘Kerajaan Keluarga Malaysia’ Tuan Guru kekal konsisten dengan hala tuju parti sendiri. Bukan lali mengikut celotehan sang pelipur lara. Bukan kenyang termakan budi sang buaya. Bukan mencarik pakaian perjuangan bagi membeli senyuman sang saudagar Saddiq Sigaraga.

Genggam gagasan Tuan Guru yang hari ini. Bukan yang semalam, bukan yang bulan lepas dan bukan yang tahun lepas. Jangan berjalan dengan orang lain memimpin tangan sehingga alpa. Berlari lah dengan Tuan Guru dengan cungapan helaan nafas akhirnya sampai ke destinasi. Tuan Guru berpaksikan sumber Ilahi dalam Penyatuan Ummah. Tiada kepentingan melainkan Islam. Idea UG disuarakan, seikat pisang gugur dari tandannya. Muafakat Nasional terbina di saat tali permusuhan masih tengang. Tuan Guru mengajar jujur lah dalam persahabatan walau luka masih berdarah. Namun jika Islam diketepikan, tiada nilai pada ikatan. Tuan Guru melangkah dengan laju membina Perikatan Nasional. Cetusan yang hadir dengan sepenuh jiwa, pasrah walau dikhianati sehingga tumbangnya kerajaan.

Sebagai ahli PAS, yakin dengan penuh hati, tanpa paksaan dan janji manis sesiapa, Tuan Guru adalah “Bapa Penyatuan Ummah”. Tuan Guru lah Pengasasnya. Jika itulah gelarannya. Tidak perlu menafsir, apatah lagi mengukir di atas batu yang keras untuk mencari asal usul Penyatuan Ummah. Dimana perut kandungannya, siapa urinya dan siapa yang sambut kelahirannya.

Setiap idea Tuan Guru mempunyai nilai absah. Apatah lagi Tuan Guru adalah ‘Amir Perjuangan’. Hampir boleh di katakan semua ahli PAS hari ini melalui proses tarbiyah dibawah lembayung Tuan Guru. Masakan kita boleh asyik dengan nyanyian nafsu ghairah yang melalaikan daripada lantunan alunan kalam wahyi yang dibacakan.

Kenapa ikat penyatuan ummah ini bersama agenda Tuan Guru, tidak ikat bersama Islam. Jika soalan ini berbangkit, adakah kita hendak mengatakan agenda Tuan Guru untuk mengikat penyatuan Ummah tidak selari dengan Islam. Adakah Tuan Guru tidak meletakkan Islam di hadapan disaat menentukan sesuatu hala tuju perjuangan.

Himpit rapatlah Tuan Guru. Bukan untuk membodek, apatah lagi melobi, jauh sekali untuk ‘sailang’ Tuan Guru. Akan tetapi himpit untuk kekal mengasihi, himpit untuk bina semula ketaatan dan thiqah yang jitu, memapah jasad Tuan Guru demi kelangsungan perjuangan. Mengiringi sederap langkah dan halatuju tanpa peduli godaan di perjalanan.

Benar, kesihatan Tuan Guru tidak seperti dulu. Namun terserlah semangat Tuan Guru. Demi Islam dan perjuangan parti. Tersebut soal kesihatan, bukan idea syaitan untuk mengambil kesempatan yang menyinggah. Namun kepanasan air dari pecahan takungan mata yang mengalir ke pipi. Biar patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku. Kami menghayun langkah bersama Tuan Guru.

18 September 2021 | 11 Safar 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor