Home Berita PAS Perlis

Ijtima’ Tarbawi 6.0: DPPNPs Sahut Cabaran Jadi Tuan Rumah

1820
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis bersedia menyahut cabaran Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk menganjurkan program Ijtima’ Tarbawi 6.0 di negeri utara tanah air ini yang akan berlangsung pada bulan Oktober nanti.

Menurut ketuanya, Ustaz Muhammad Azmir Azizan, kejayaan penganjuran Ijtima’ Tarbawi 5.0 di Melaka secara gilang-gemilang kira-kira dua tahun lalu menjadi pembakar semangat kepada pihaknya untuk melakukan yang terbaik bagi menjayakan edisi kali ini.

Katanya lagi, pihaknya turut menjangkakan kehadiran peserta melebihi 5000 orang pada program yang akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Oktober nanti.

“Ijtima’ Tarbawi merupakan antara program terbesar Dewan Pemuda PAS Malaysia yang bermatlamatkan menyemarakkan agenda pentarbiyahan dalam jiwa para pemuda PAS serta anak-anak muda yang cintakan Islam.

“Berdasarkan kepada perkembangan semasa, kita menjangkakan kehadiran peserta melebihi angka 5000 orang namun kita tetap bersedia menyambut kehadiran mereka,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Mengulas berkenaan lokasi penganjuran, beliau menjelaskan MATIN dipilih kerana institusi berkenaan merupakan pusat tahfiz dan aktiviti keilmuan terbesar di negeri ini selain memiliki fasiliti yang mencukupi serta menepati keperluan program.

“Ma’had Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi ( MATIN) merupakan pusat Tahfiz dan aktiviti-aktiviti dakwah di Negeri Perlis dan ciri-ciri berkenaan menjadikannya lokasi paling sesuai untuk penganjuran Ijtima’ Tarbawi 6.0 nanti.

“Kehadiran kepimpinan utama PAS seperti Tuan Guru Dato’ Haji Hashim bin Jasin, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi bin Awang serta YB Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man ke MATIN nanti, bukan sahaja menyerikan lagi perjalanan ijtima’, malah mampu membakar semangat dalam jiwa para pemuda Islam untuk bekerja bersungguh-sungguh memenangkan PAS pada PRU ke 15 nanti,”ujarnya.