Home Berita PAS Pulau Pinang

Iftar PAS Bayan Baru mengeratkan hubungan

59
SHARE

Bayan Baru, 2 Mei: PAS Kawasan Bayan Baru telah menganjurkan program Iftar PAS Kawasan Bayan Baru di Markaz PAS Sungai Tiram pada hari Ahad baru-baru ini.

Program ini adalah program tahunan yang dilakukan oleh PAS Kawasan bersama dewan-dewan kawasan di bulan Ramadhan bertujuan mengeratkan hubungan sesama ahli dan masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan.

Program dimulai dengan ucapan oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Bayan Baru, saudara Iszuree Ibrahim yang mengajak semua agar berusaha menjaga perpaduan yang terbina.

Beliau yang juga merupakan setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri (BPPN) Pulau Pinang menjelaskan bahawa PAS sedang berusaha bersungguh-sungguh dalam kerajaan persekutuan dalam memelihara kebajikan masyarakat di negara ini.

Program diteruskan dengan pemberian sumbangan kepada 26 keluarga asnaf di sekitar Bayan Baru oleh Pesuruhjaya BPPN Pulau Pinang, ustaz Muhammad Fauzi bin Yusoff dan YDP PAS Kawasan Bayan Baru.

Tazkirah sebelum berbuka telah disampaikan oleh Ustaz Fauzi yang mengingatkan semua bahawa matlamat puasa adalah untuk menjadikan kita sebagai insan yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Beliau menekankan agar kita sentiasa bersabar dengan cabaran yang dihadapi terutama di musim Covid-19 yang cukup mencabar ini kerana ini semua adalah ujian daripada Allah SWT.

Majlis berbuka menyusul selepas itu sebelum solat Maghrib berjemaah dan program berterusan sehingga habis solat tarawikh.

Menurut pengarah program, saudara Affandy bin Mohamed Ibrahim, program berjalan dengan lancar meskipun bilangan yang tidak seramai sebelum ini dalam menjaga SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau yang juga merupakan Naib Yang Dipertua (NYDP) Kawasan bersyukur kerana kemeriahan tetap terasa meskipun banyak langkah berjaga-jaga terpaksa diambil dalam memastikan tiada SOP yang dilanggar pada program berkenaan.