Home Berita PAS Sabah

Iftar Jamaei Perdana PAS Kawasan Tawau bersama OKU

220
SHARE

 

 

Oleh : ANNA TAN.                                                  25 APRIL 2022

TAWAU : Seramai 66 pelajar Kafa OKU Upaya (Unit Pengupayaan OKU) bersama ahli keluarga mereka serta tenaga pengajar diraikan dalam Majlis Iftar Jamaei Perdana PAS Kawasan Tawau Bersama OKU, di sini, semalam.

Pelajar-pelajar KAFA OKU UPAYA terdiri daripada pelajar kelas dewasa mengaji Al Quran versi Braille, pelajar OKU pekak dan pelajar-pelajar kategori Oku pelbagai.

Timbalan 3 Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Sabah, Ustaz Rosli Hasan, merangkap Pengerusi Unit Pengupayaan OKU (UPAYA) PAS Kawasan Tawau berkata, Majlis Iftar tersebut diadakan setelah dua tahun tergendala akibat Covid-19 dan kali ini ia diadakan untuk meraikan OKU yang menjadi pelajar KAFA bersama ahli keluarga dan guru mereka.

“Sejak beberapa tahun ini, PAS Kawasan Tawau melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan dan UPAYA menyantuni anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi beberapa program dan sumbangan seperti Program Kembali ke Sekolah dan sumbangan dari rumah ke rumah.

“Majlis Iftar ini juga termasuk dalam usaha kami untuk berkongsi kegembiraan bersama mereka dalam Ramadan yang mulia ini.

“harapan kami agar segala usaha ini serba sedikit dapat membantu meringankan beban mereka.

” Saya berharap agar ibubapa sentiasa memberi sokongan dan komitmen kepada anak-anak mereka untuk terus menuntut ilmu di Kafa, dan jangan segan jika mempunyai permasalahan untuk dikongsi dengan kami berkaitan anak-anak.

“Selain itu kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang telah menaja majlis berbuka puasa pada hari ini, semoga Allah SWT memberi sebaik-baik balasan,” katanya.

Dalam majlis tersebut para hadirin turut mendengar tazkirah ramadan menyentuh kalbu daripada Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Tawau, Ustaz Zulkifli Omar.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi PASTI Kawasan Tawau yang juga merangkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tawau, Irwan Hamdan dan Ketua Muslimat PAS Kawasan Tawau, Mandina Ladale.