Home Berita PAS Perak

Idris azam tambah peruntukan pusat penggajian Islam terjejas Covid-19

9
SHARE

Oleh: Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG: Kerajaan telah menyalurkan RM60 juta bagi meringankan beban yang ditanggung pentadbir pusat-pusat pengajian Islam, demikian ujar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Katanya, walaupun peruntukan telah disalurkan, ia masih belum mencukupi memandangkan jumlah institusi penggajian Islam yang terkesan adalah besar.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi tujuan tersebut.

“Pusat-pusat pendidikan Islam seperti pusat tahfiz, pondok serta sekolah-sekolah persendirian dan swasta menghadapi implikasi kewangan yang sangat mendesak kerana terpaksa menghentikan operasi berikutan penularan pendamik Covid-19.

“Selain pusat-pusat penggajian, kami menerima ratusan permohonan setiap hari daripada pelbagai pihak yang terjejas akibat wabak ini. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan antaranya Program Dapur It’am 6.0 dengan peruntukan berjumlah RM10.7 juta disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” ulasnya.

Program itu dijangka dapat dimanfaatkan 8,400 penerima setiap hari, dengan jumlah keseluruhan seramai 1.285 juta individu sepanjang program itu berlangsung.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Musa’adah Banjir kepada Sekolah Rendah Islam Bistari Darul Mulkan di Jalan Kuala Sepetang di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penggajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud, ADUN Kuala Sepetang, Kamarudin Abu Bakar dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa, Datuk Haji Mohamad Ajib Ismail.

Pada majlis tersebut, sebanyak RM50,000 telah disalurkan kepada sekolah berikut bagi melengkapkan peralatan sekolah yang rosak akibat banjir pada 19 Ogos lalu.

Terdahulu, Pengerusi Jemaah Tadbir Sekolah Rendah Islam Bistari Darul Mulkan, Ustaz Jamnul Azizul Rahim menzahirkan penghargaan di atas sumbangan yang disalurkan kepada sekolah tersebut.

Tambahnya, banjir tempoh hari merupakan antara yang terburuk dalam tempoh 40 tahun dan ia berlaku sangat pantas sehingga kami tidak sempat menyelamatkan banyak peralatan sekolah.

“Kami bercadang untuk memohon sumbangan daripada agensi kerajaan dan orang ramai bagi meningkatkan kemudahan di sekolah ini seperti menambah kelas-kelas baharu, bilik guru, bilik kebal dan meninggikan paras lantai bangunan sedia ada bagi mengelak kerosakan lebih buruk jika banjir berulang,” jelasnya lagi.

Pada majlis itu, Pusat Khidmat ADUN Kuala Sepetang turut menyampaikan sumbangan RM5,000 untuk sekolah tersebut.