Home Berita PAS Sabah

Ibu gendong anak berumur 45 hari selamatkan diri

514
SHARE

Oleh : Ahmad Faidhi Mawardi
15 Mac 2021

KOTA KINABALU : “Saya bawa bayi saya baru 45 hari bersalin. Suami saya gendong dua orang dan dua lagi berjalan sendiri terjun dapatkan bot. Saya pun menggigil badan. Tak tahu kenapa anak-anak semua terdiam, trauma mungkin.”

Demikian detik cemas yang diceritakan semula oleh Nurfaijah Ahmad, salah seorang mangsa kebakaran kepada wakil PAS Putatan yang mengunjunginya semalam.

Dalam musibah kebakaran besar yang berlaku di Lok Kurau, Pulau Gaya pada 11 Mac 2021 yang lalu, lebih 200 mangsa terlibat dan 87 rumah hangus dijilat api. Situasi yang cemas pada ketika itu membuatkan mangsa panik, orang ramai termasuk warga emas terpaksa terjun ke laut dan berenang untuk menyelamatkan diri.  Sebahagian yang lain sempat menaiki perahu.

PAS Kawasan Putatan bersama Pemuda PAS Putatan telah mengatur ziarah bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran yang ditempatkan sementara di Surau Kg. Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, pagi semalam.

Sebanyak 27 keluarga menerima sumbangan seperti set peralatan solat, bantal, selimut, tuala, pakaian, pelitup muka dan set kendiri (seperti sabun, ubat gigi dan berus gigi).

Bantuan ini adalah susulan bantuan awal PAS Putatan pada 12 Mac, iaitu pengagihan lebih 150 pek makanan kepada mangsa kebakaran, sejurus selepas kebakaran pada malam sebelumnya.

Sumbangan telah disampaikan oleh YDP PAS Kawasan Putatan Ustaz Muhammad Akmal Othman. Turut hadir Ustaz Mahari Abu Bakar, Pengerusi Lajnah Pengurusan Harta dan Ekonomi, serta saudara Rizal Nasri, Pengerusi Lajnah Penerangan Pemuda PAS Putatan.

“Kami menzahirkan rasa simpati kepada tuan-tuan dan puan-puan, Allah menguji kita semua ada kebaikan di sebaliknya.. Banyakkan bersabar.”

“Ramai yang datang membantu, termasuklah daripada pihak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kami sendiri daripada PAS, parti-parti politik, pihak masjid, persatuan dan lain-lain. Apabila kita membantu sudah tidak timbul lagi soal warna politik, semua pihak datang membantu rakyat.” Ujar Ustaz Akmal Othman

Sekalung penghargaan buat para penyumbang yang telah menderma untuk bantuan para mangsa kebakaran. Turut membantu PAS Putatan dalam pengurusan agihan bantuan, Cikgu Normina binti Abdul yang juga merupakan salah seorang mangsa kebakaran.