HULU TERENGGANU, 9 Julai – Seorang ibu berdepan detik cemas dalam kejadian ribut di Perumahan Padang Setengge kelmarin selepas atap rumahnya terbang hingga membahayakan nyawa anak kecilnya.
Nor Farizan Abdul Rashid, 37, walau bagaimanapun berkata, dia sempat mengeluarkan anaknya yang berusia tiga bulan dan lima tahun dari rumah terbabit.
“Kepala angin berpusar datang mengakibatkan atap rumah hadapan terbang menimpa rumah kira-kira jam 6 petang.
“Waktu itu, saya sedang merangkul kedua-dua anak di dalam rumah sambil bertakbir memuji nama Allah sementara menunggu hujan reda sebelum bergegas ke rumah jiran yang tidak terkena ribut.
“Pada masa itu yang paling utama ialah keselamatan anak-anak saya sahaja,” ujarnya ketika ditemui oleh Media Dun Kuala Berang.
Tambahnya lagi, setelah hujan reda dia kembali ke rumah semula untuk melihat kerosakan kesan malapetaka itu.
“Bilik pertama dan bahagian ruang tamu dipenuhi air oleh sebab atap tercabut sehinggakan semua peralatan dalam rumah basah kuyup.
“Manakala bilik kedua kurang terkesan berbanding bilik pertama,” katanya.
Dia yang bekerja di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pernah menghadapi kejadian sama dua tahun lepas mengatakan bahawa ia adalah kejadian paling teruk sepanjang enam tahun dia menetap di perumahan ini.
Kerosakan kali pertama hanya melibatkan bahagian garaj dan sedikit bahagian di dalam rumah.
“Namun, kali ini hampir 100 peratus bahagian rumah terjejas.
“Disebabkan peristiwa itu, walaupun tiada kecederaan berlaku, namun ia meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada anak sulungnya,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, hampir keseluruhan rumah yang terlibat siap dibaiki dengan bantuan kerajaan negeri.