Home Berita PAS Terengganu

103 pelajar cemerlang SPM di Setiu terima ganjaran

131
SHARE

SETIU, 9 Julai – Seramai 103 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di sini diraikan Ahli Parlimen Setiu atas kejayaan memperolehi keputusan cemerlang 7A dan ke atas.

Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, hadiah tersebut sebagai menghargai usaha keras mereka sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

“Alhamdulillah selesai sudah agihan saguhati kecemerlangan SPM 2020 kepada seluruh pelajar dalam Parlimen Setiu yang mendapat keputusan 7A ke atas. Seramai 103 penerima saguhati ini yang mana saya dan wakil sampaikan secara rumah ke rumah.

“Semoga semua yang cemerlang ini lebih berusaha pada masa akan datang untuk mengekalkan kecemerlangan yang telah mereka semua kecapi ini.

“Tapi kena ingat kejayaan ini bukan kejayaan yang selamanya, perjalanan masih jauh dan pelbagai lagi ranjau dan liku-liku yang perlu ditempuhi nanti. Saya doakan semoga pelajar-pelajar ini dapat menyambung ke peringkat pengajian yang lebih tinggi dan yang paling penting menjadi pelajar yang berjaya di dunia dan akhirat,” katanya selepas mengagihkan hadiah tersebut semalam.

Pengagihan kepada semua pelajar cemerlang itu telah bermula sejak hari Rabu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit dan Jabi, manakala bagi DUN Permaisuri dan Langkap pada hari Khamis.

Tambah beliau, pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga akan mendapat diberikan ganjaran.

“Insya-Allah minggu depan kita agih pula kepada pelajar yang cemerlang STPM dan STAM,” katanya.