Home Berita PAS Perlis

Ibnu Aqil bakal lahirkan pewaris perjuangan Anbiya’

203
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 19 Feb: Kompleks Ibnu Aqil yang terletak di Kampung Kubang Siput, di sini, bakal menjadi satu lagi institusi yang melahirkan generasi pewaris perjuangan para Anbiya’.

Jelas Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, hasrat berkenaan amatlah besar dan tidak mudah dicapai tanpa sokongan dan dokongan daripada semua pihak.

Ujarnya lagi, kompleks berkenaan juga apabila siap kelak, bakal menempatkan institusi pendidikan di pelbagai peringkat seperti Maahad Tahfiz, PASTI, sekolah rendah dan pondok moden.

“Menjadi harapan saya agar tempat ini melahirkan generasi pewaris perjuangan para Anbiya’ yang berkhidmat kepada masyarakat dari buaian sehingga ke liang lahad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Promosi Kompleks Pendidikan Islam Ibnu Aqil di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Syura PAS Pusat, Ustaz Ahmad bin Ali serta kepimpinan PAS di semua peringkat di negeri Perlis.

Dalam pada itu, beliau turut merayu sumbangan daripada orang ramai bagi menampung kos pembinaan bagi fasa kedua.

Kompleks Ibnu Aqil merupakan cetusan idea Mursyidul Am PAS sendiri yang turut mewakafkan tanah seluas lima relong untuk pembinaannya.

Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 19 Januari 2018.