Home Artikel PAS Sabah

Ibadah Qurban mengajar erti pengorbanan.

59 views
SHARE

Oleh : Ridwan Asmi
13 Ogos 2019

SANDAKAN : “Program pada hari ini mengajar kita untuk menghayati ibrah pengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS serta menunjukkan cara hidup Islam dalam konteks bermasyarakat.

Begitulah ucapan Yang Dipertua PAS Kawasan Libaran, Abdul Waheed Mohd dalam Program Qurban PAS Kawasan Libaran yang merupakan program tahunan di PASTI Zubair Al Awwam, batu 12 semalam.

Program yang disertai oleh ahli PAS Kawasan Libaran yang terdiri daripada dewan pemuda, dewan muslimat dan juga penyokong PAS itu telah menumbangkan sebanyak 7 ekor lembu.

Bermula awal pagi sehingga tengah hari, semua petugas bersama sama dalam pengurusan daging qurban sebelum diagihkan kepada 400 orang penerima di Kampung Kuala Gum-Gum, Kampung Sibugal Besar, Kampung Muhibbah dan Kampung Nelayan Tengah.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Libaran, Zulkifli Mohamad ketika ditemui dalam agihan daging qurban di Kampung Kuala Gum – Gum menjelaskan bahawa PAS sentiasa dekat dalam menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

“Walaupun PAS merupakan parti pembangkang, tetapi kami akan berusaha untuk membantu masyarakat terutamanya berkaitan kebajikan.” Tambahnya lagi.

Wakil penduduk kampung, Mohd Saleh berkata dia dan seluruh kampung sangat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS Libaran atas keprihatinan terhadap warga kampung yang hidup dalam kekurangan itu.

Turut hadir dalam program kali ini adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Libaran, Kamsah Osman, Ketua Dewan Muslimat PAS Libaran, Nur Khadijah Ghazali serta beberapa orang ahli jawatankuasa PAS Libaran.