Home Artikel PAS Sabah

PAS bawa mesej Islam untuk semua kaum dan agama.

332 views
SHARE

Oleh : K.Batrusi

12 Ogos 2019

SANDAKAN : PAS yang membawa suara Islam dalam negara ini akan terus menyampaikan mesej perjuangannya kepada rakyat tanpa memilih kaum dan anutan agama.

Bahkan, parti Islam itu akan memberikan bantuan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik dan fahaman sekiranya mereka memerlukannya.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya I PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid ketika menyampaikan sumbangan daging korban kepada penduduk Kampung Forest dekat sini petang tadi.

“Tidak kira apa keturunan, sama ada Bajau, Kadazan, Dusun, Sungai, Suluk, Bugis, Cina, Melayu atau India bahkan apa agama sekalipun termasuk Islam dan Bukan Islam, PAS tetap akan berikan bantuan sekiranya mereka layak termasuk daging korban ini,” jelas Sahar.

Menurutnya, daging korban yang diedarkan petang itu turut diagihkan ke beberapa buah kampung lain termasuk Kampung Bakau, Kampung Cahaya Baru, Kampung Batu Dua dan beberapa lokasi lain di sekitar Sandakan.

“Daging ini adalah daging berkat, tidak sama seperti daging yang kita beli di pasar kerana daging ini adalah daging korban yang disunatkan untuk dilaksanakan dalam agama kita pada Aidil Adha,” ulas Sahar yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Sandakan.

Misi Korban anjuran PAS Sandakan itu telah dimulakan lebih awal apabila proses penyembelihannya telah diadakan di lokasi lain yang melibatkan kira-kira 100 orang petugas daripada jentera PAS Kawasan Sandakan.