Home Berita PAS Sabah

Ibadah korban menyatukan masyarakat

73
SHARE

Oleh: Basith Samad
11 Julai 2022

KINABATANGAN: PAS Kawasan Kinabatangan telah menganjurkan Program Ibadah Korban dengan kerjasama masjid sempena sambutan Perayaan Aidiladha bagi tahun ini, bertempat di perkarangan Masjid Al-Ghafar, semalam.

Penyelaras PAS Kawasan Kinabatangan, Jumaidin Lakalla berkata majlis tradisi yang diadakan setiap tahun itu sebagai tanda kesyukuran kakitangan dan pada masa sama, meraikan golongan kurang bernasib baik.

“Seperti tahun sebelumnya, majlis bermula dengan melapah daging korban dan memasak bersama-sama dengan masyarakat setempat, bertujuan mengeratkan tali persaudaraan bersama-sama insan yang diraikan.

“Secara keseluruhannya, kita melihat program kali ini lebih meriah dan berjalan dengan lancar, terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama dan sokongan yang diberikan,” katanya.

Menurut beliau, selepas negara memasuki fasa peralihan endemik dengan kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP), sambutan ibadah korban kali ini berjaya menyatukan ummah dengan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat.

Mereka berasakan Hari Raya Aidiladha kali ini jauh berbeza berbanding dua tahun sebelum ini berikutan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Turut bersama dalam majlis semalam, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sabah, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kinabatangan bersama dengan dua sayap partinya, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS kawasan Kinabatangan.