Home Berita PAS Sabah

Ibadah korban eratkan silaturahim antara masyarakat

1693
SHARE

 

Asrul (kanan) membantu memegang haiwan korban sebelum penyembelihan

Oleh : Ahmad Li
12 Julai 2022

BEAUFORT: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Beaufort dengan kerjasama penduduk Kampung Layung telah menganjurkan Program Ibadah Korban di sini pada ahad.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS kawasannya, Asrul Samat, dengan adanya kerjasama ini dapat memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha dengan aktiviti dakwah dan sosial bersama masyarakat setempat.

“Sambutan tahun ini dianggap lebih istimewa kerana bukan sahaja dapat melaksanakan solat sunat hari raya secara berjemaah di surau, malah pada kali ini penduduk kampung dapat melaksanakan ibadah korban.

“Aktiviti dakwah dan kemasyarakatan seperti ini dilihat sebagai salah satu mekanisme yang baik dalam mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung, sekaligus dapat menerapkan nilai-nilai penghayatan dan kefahaman terhadap agama Islam,” ujarnya yang juga penyelaras utama program.

Turut hadir dalam majlis Yang Dipertua PAS Beaufort, Ukashah Zubi dan Ketua Kampung Layung, Misli Jamal.

Penduduk kampung bergotong-royong melapah daging korban

Asrul menyatakan rasa bersyukur dan berpuas hati dengan kerjasama yang sangat baik daripada penduduk kampung dalam menjayakan program ini.

“Terima kasih kepada Ketua Kampung Layung, serta AJK surau yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini, bermula daripada perancangan sebulan lebih awal sehingga program selesai,” ujarnya lagi.

Program bermula seawal jam 7.00 pagi itu dimulakan dengan aktiviti bertakbir, taklimat ringkas tatacara melaksanakan solat sunat Aidiladha, mendirikan solat sunat dan mendengar khutbah seterusnya acara korban dimulakan.

Seramai 40 orang petugas yang terdiri daripada penduduk Kampung Layung dan Kampung Kukuro terlibat dalam kerja-kerja menyembelih seekor lembu, melapah, memasak dan menguruskan daging korban untuk diagihkan kepada kira-kira 100 penerima di dalam mukim itu.

Asrul mengharapkan program seumpama ini terutamanya program dakwah dapat diteruskan dan pelaksanaannya dipelbagaikan dari aspek aktiviti serta pendekatan yang bersesuaian dengan masyarakat setempat.