Home Artikel PAS Wilayah

HWMUNA Wilayah Persekutuan Lakar Sejarah Indah

389
SHARE

 

Oleh: Thia Razali

Batu – Himpunan Wanita Muafakat Nasional (HWMUNA) Peringkat Wilayah Persekutuan telah berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) baru-baru ini.

Himpunan ini menyaksikan kolaborasi antara Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan dan Pergerakan Wanita Umno Wilayah Persekutuan sebagai bukti kerjasama Muafakat Nasional yang dimeterai oleh kedua-dua parti teras Melayu iaitu PAS dan Umno pada 14 September yang lalu.

Majlis dimulai dengan zikir munajat yang diketuai oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, YB Senator Hajah Ustazah Nuridah Mohd Salleh kemudian disusuli dengan majlis pelancaran HWMUNA.

Antara dif-dif jemputan yang hadir ke program bersejarah ini adalah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Wilayah Persekutuan, Dato’ Zurainah Musa.

Majlis yang dihadiri seramai kira-kira 800 orang penggerak muslimat kedua-dua buah organisasi ini diserikan lagi dengan empat buah pidato daripada wakil Muslimat PAS dan Wanita Umno berkaitan wanita dan ekonomi, pendidikan, politik dan agama.

Program ini bertujuan untuk menanamkan kesedaran tentang Muafakat Nasional di kalangan wanita Wilayah Persekutuan, mengeratkan ukhuwah antara penggerak muslimat PAS dan Umno serta memupuk semangat kerjasama sebagai persediaan ke arah PRU 15.

Perkara ini ditekankan oleh YB Ustazah Nuridah Mohd Salleh bahawa keberadaan kedua-dua parti dalam majlis tersebut pada hari itu merupakan kurniaan Allah SWT yang mempersatukan hati kedua-duanya.

“Keikhlasan dalam memperjuangkan kerjasama Muafakat Nasional ini perlu dipupuk untuk mencapai kejayaan yang kekal abadi di akhirat nanti dan juga demi survival generasi yang akan datang,” jelas beliau lagi.