HUBUNGAN MALAYSIA DAN TIMUR TENGAH DALAM
GEOPOLITIK SEMASA[1]
MUQADDIMAH
Hubungan bersejarah antara wilayah Nusantara secara umum dan Malaysia secara khusus dengan Timur Tengah atau Asia Barat dalam konteks hubungan tamadun, sudah berlaku sejak awal kedatangan Islam lagi.
Timur Tengah itu meliputi seluruh wilayah Arab di Asia Barat, sebahagian kawasan di Asia Tengah (Azerbaijan, Iran dan Afghanistan) dan sebahagian utara Afrika (Mesir, Sudan, Libya dan Tunisia) terbentuk sejak zaman keemasan Tamadun Islam. Berlangsung pada zaman terakhir Islam mempunyai kuasa besar, iaitu ketika bangsa Turki memimpin kerajaan ‘Uthmaniyah yang mengambil alih kepimpinan Khilafah Islamiyyah.
Maka yang dimaksudkan dengan Timur Tengah dalam hubungan diplomatik Malaysia adalah negara-negara yang termasuk dalam jangkauan tersebut, bukan sekadar wilayah Arab sahaja.
Hubungan sejarahnya mencipta kerajaan Islam di rantau ini, merangkumi naungan kuasa besar Islam pada masa itu. Kedatangan Islam pula bersifat menyeluruh dan berkonsepkan negara, kerana berjaya mengIslamkan rakyat bersama raja-raja.
Bagi Malaysia secara khususnya hampir keseluruhan masyarakat Melayu adalah beragama Islam, mereka mendominasi penduduk masyarakat majmuk sejak awal, sebelum ketibaan kaum pendatang yang dibawa oleh penjajah British khususnya. Walaupun kewujudan kaum telah berlaku sebelum itu secara kecil-kecilan, tetapi kedatangan awalnya itu bersama dengan hubungan Islam yang bertaut di antara wilayah, telah menyatukan mereka menjadi satu bangsa dan satu kaum bersama Islam.
Melaka salah satu kerajaan kesultanan Islam yang lebih tepat diambil daripada perkataan Malaqa, negara bandar metropolitan. Malqa yang bermaksud tempat pertemuan pelbagai bangsa yang datang berdagang.
Malaysia dibentuk hasil pembahagian wilayah dalam kalangan penjajah Barat seperti Sykes-Picot Agreement yang membahagikan Timur Tengah kepada kalangan kuasa penjajah, dengan perjanjian pembahagian wilayah antara British dan penjajah yang lain. Bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 secara khusus, kemudian diikuti dengan Perjanjian Bangkok dan London pada tahun 1909 yang membelahbahagikan negeri dalam kalangan penjajah yang datang.
Maka, penentangan terhadap penjajah di Malaysia adalah bertalian dengan pergerakan menentangnya di Timur Tengah dalam menghadapi Perang Salib. Pada masa yang sama, turut disertakan dengan pergerakan dakwah, pengajian dan jihad yang mencabar penjajah menghadapi gerakan Kristian dan pembaratan budaya. Gerakan dakwah dan perdagangan pula tidak putus, walaupun adanya agenda pemecahan dan pemisahan oleh penjajah. Di samping ibadat haji yang tidak boleh disekat bagi menjalinkan hubungan dalam kalangan umat Islam.
Seorang tokoh orientalis pernah menegaskan bahawa tiga perkara yang menggagalkan mereka menentang umat Islam iaitu al-Quran yang dipelihara, pelaksanaan ibadat haji dan solat Jumaat yang berterusan. Seluruh umat Islam menjalinkan hubungan ukhuwah iman kepada rukun yang sama dan beribadat ke arah kiblat yang sama.
Maka perjuangan menentang penjajah di Malaysia bukanlah baru bermula pada tahun 1946 ketika penubuhan Malayan Union, tetapi sebenarnya ia telah bermula sejak kejatuhan Melaka tahun 1511. Sehinggalah penubuhan jemaah Islam, diikuti penubuhan Parti Sarekat Islam pada awal abad yang lalu, hasil kesinampungan hubungan para ulama’ lepasan halaqah ilmu di Makkah, al-Azhar dan India dan para pedagang yang bertali arus. Di samping itu, mendapat pengaruh gerakan Islah dan tajdid di Timur Tengah yang mempengaruhi rantau ini.
Peristiwa Dahagi 1915 di Singapura, berlakunya penentangan askar Melayu dan India Muslim kerana keengganan mereka dikerahkan bagi menentang Turki ‘Uthmaniyah menandakan jalinan hubungan awal antara Malaysia-Timur Tengah yang tidak boleh diputuskan.
Pemilihan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang pertama, selepas badan itu ditubuhkan ketika berlakunya pembakaran Masjid al-Aqsa oleh Yahudi pada tahun 60-an adalah sinonim dengan hubungan Malaysia dengan politik dunia Islam khususnya Timur Tengah.
Malaysia adalah antara negara yang tidak mengiktiraf negara haram Israel dan tidak terpengaruh melaksanakan agenda normalisasi dengan Israel. Langkah Malaysia menolak program normalisasi terhadap negara haram Israel dan melarang visa Israel diletakkan dalam pasportnya kerana hubungan dengan perjuangan Palestin walaupun negaranya dirampas. Bermakna prinsip negara Malaysia adalah bersama Palestin.
Oleh itu, Malaysia juga terpanggil dengan setiap krisis yang berlaku di Timur Tengah.
KIBLAT UMAT ISLAM
Timur Tengah merupakan tempat letaknya kiblat pertama umat Islam di Baitul Maqdis, bumi para anbiya’. Manakala Makkah pula menjadi pilihan kiblat akhir zaman, tempat kelahiran Rasul terakhir kepada seluruh manusia.
Pada zaman itulah berlaku kemuncak kepada tamadun ilmu yang bersumberkan daripada mukjizat al-Quran yang memberi hidayah. Petunjuk yang menjelaskan peranan manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk beribadat, berkhilafah dan memegang amanah bagi menegakkan petunjuk Allah SWT.
Kota Makkah adalah tempat pertemuan antara Timur dan Barat. Sebagaimana firman Allah SWT:
﴿لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ١ إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ٢ فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ٣ الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ٤﴾
“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (1); (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam). (2); Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. (3); Tuhan yang memberikan mereka penghidupan iaitu menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4).” (Surah Quraisy: 1-4)
Musafir pada musim sejuk ke Yaman telah menghubungkan Makkah dengan Asia Timur, manakala musafir pada musim panas ke Syam pula menghubungkan Makkah dengan Barat sehingga Utara Afrika.
LAPANGAN KRISIS
Kedudukan geografi Timur Tengah adalah penghubung tiga benua yang menjadi tumpuan manusia sejak awal dahulu lagi. Maka, ia menjadi tempat dibina tamadun awal Islam bagi menghadapi jahiliah yang sentiasa bertembung.
Pada masa yang sama, ia menjadi medan pertembungan sejak zaman dahulu dan medan dua Perang Dunia pada abad yang lalu. Seterusnya Timur Tengah menjadi medan pertembungan sejak Perang Dingin sehingga hari ini mencetuskan perang proksi yang sedang bergolak kerana dikhadamkan oleh kuasa asing.
Malaysia pula terletak di Timur dunia Islam. Peranan Selat Melaka sebagai laluan hubungan laut antara negara Timur Jauh dengan Timur Tengah, juga menjadi medan rebutan dan pertembungan kuasa besar sejak zaman penjajah dan ketika dua Perang Dunia serta era Perang Dingin.
Maka setiap perkembangan terkini di Timur Tengah tetap memberikan kesan kepada Malaysia dalam pelbagai aspek. Khususnya dalam aspek persaudaraan Islam yang disifatkan oleh sabda Rasulullah SAW:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.
“Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman itu dari segi kasih sayang, bersimpati dalam kalangan mereka laksana hubungan anggota dalam satu jasad. Apabila satu anggotanya mengadu kesakitan maka seluruh jasad merasanya sehingga berjaga dan demam.” (Riwayat Muslim 2586)
Hubungan iman merentasi sempadan geografi, perkauman dan mazhab. Walaupun ia pernah dijadikan bahan letupan yang pernah memecah-belahkan umat Islam dan faktor kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyah pada awal abad yang lalu.
Peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa menandakan hubungan yang diputuskan pada zaman penjajah itu gagal memisahkan sejahil-jahil umat Islam. Perkara ini menandakan hidupnya kemanisan iman dalam diri umat Islam sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الإِيْمَانِ: مَنْ كَانَ اللَّهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ مِنْهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.
“Sesiapa yang ada dalam dirinya tiga perkara, nescaya dia masih mempunyai kemanisan iman, iaitu Allah dan Rasul lebih dikasihi daripada yang lain. Kasihnya kepada seorang sahabat kerana Allah. Benci menjadi kufur (murtad) setelah diselamatkan oleh Allah daripadanya, laksana tidak mahu dicampak ke dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari 16 dan Muslim 43)
Maka setiap Muslim itu tidak boleh ditakfirkan dengan mudah dan sesuka hati disebabkan kejahilannya.
KEMERDEKAAN YANG DIRANCANG
Evelyn Baring (Lord Cromer) ialah seorang orientalis yang pernah bertugas di India, kemudian di Mesir merupakan perancang kepada gerakan taghrib (pembaratan) yang dilaksanakan setelah gagal memurtadkan umat Islam supaya menganuti agama penjajah iaitu agama Kristian.
Seterusnya penentangan terhadap penjajah yang bercirikan Islam diubah kepada pendekatan sekularisme yang memisahkan roh Islam dalam perjuangannya. Ini penting supaya diwarisi kemerdekaan yang menghalang negara kembali semula kepada negara Islam yang asal, bagi mengembalikan Islam memimpin dunia.
Maka kemerdekaan yang dicapai oleh semua negara Islam, bermula daripada Nusantara sehinggalah Timur Tengah telah dirancang untuk diambil alih daripada perjuangan asal yang bercirikan Islam kepada kemerdekaan yang dirancang tanpa Islam berdaulat.
Kemudian tanah air Islam yang bersatu bersama Islam dipecahkan kepada geopolitik mengikut pecahan pengaruh penjajah di negeri masing-masing dan meminggirkan kumpulan Islam yang pada awalnya berjihad menentang penjajah. Seterusnya semangat nasionalisme sekular dihidupkan yang memecahkan umat mengikut peta yang diatur dan dirancang.
Negara umat Islam dibahagikan mengikut era Perang Dingin berdasarkan blok Timur dan Barat dengan menerapkan ideologi nasionalisme sekular atau Islam sekular mengikut pecahan mazhab. Tindakan tersebut penting bagi meneruskan agenda perpecahan umat Islam dan anutan ideologi yang berbeza dalam era Perang Dingin.
Berlakunya konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia ketika penubuhan Malaysia dahulu adalah perpecahan yang disebabkan oleh agenda pembahagian blok Perang Dingin. Negara Arab juga berkonfrontasi sesama sendiri mengikut blok tersebut.
ERA KEBANGKITAN SEMULA ISLAM
Selepas kegagalan komunisme dan sosialisme yang menghancurkan blok Komunis dan Sosialis, blok Barat pula menunjukkan tanda merudumnya. Pada masa inilah, berlaku kebangkitan semula Islam yang dianggap menjadi pencabar kepada sistem liberal kapitalisme yang melakukan perubahan selepas tamatnya Perang Dingin. Dengan anggapan dan usaha bagi mengekalkan kuasa tunggal liberal kapitalisme dengan slogan New World Order (orde baru dunia) dan peta baharu Timur Tengah, kita menyaksikan perancangan mereka bagi menggagalkan sebarang usaha untuk kembali semula kepada Islam.
Maka semua langkah yang memajukan umat Islam atau menyatukan mereka ditentang, tanpa mengira ideologi yang dianuti, nasionalisme dan mazhab.
Contohnya, melalui operasi ketenteraan seperti perang di Afghanistan dan Perang Teluk, rampasan kuasa tentera bagi menukar kerajaan melalui tentera atau proses demokrasi yang dirancang bagi menghalang kemenangan Islam. Selain itu, pelaksanaan agenda Rand Cooperation yang menyusup masuk ke dalam Harakah Islamiah bagi melemahkannya atau mengalih hala tujunya agar terpesong daripada Islam yang sebenar. Sama ada dengan mengalahkan Islam atau mensekularkan Islam.
Kemenangan parti Islam di mana-mana sahaja akan dijatuhkan dengan apa cara sekalipun, seperti pembatalan kemenangan pilihan raya perbandaran di Algeria, rampasan kuasa tentera di Mesir, Turki dan lain-lain.
Revolusi Islam yang berlaku di Iran pula dibesar-besarkan Mazhab Syiah yang dianuti oleh mereka, kemudian dilakukan kepungan melalui politik, ekonomi, media dan ketenteraan. Adapun perubahan kepada Islam di Turki pula dilabel dengan bahaya penjajahan ‘Uthmaniyah.
Usaha kesatuan umat melalui OIC hampir dibekukan, bahkan usaha bagi menubuhkan gabungan negara Islam D8 juga digagalkan dan D4 (Malaysia, Turki, Iran dan Qatar) paling mutakhir juga hampir dilupakan.
Sebelum itu, dilaksanakan perancangan di sebalik reformasi di Indonesia, Arab Spring di Timur Tengah dan Gerakan BERSIH di Malaysia.
PAS dapat mengesan langkah ini ketika bersama Pakatan Rakyat (PR) dan silap dijemput menjadi tetamu perbincangan di Kedutaan Amerika. Lalu PAS mengambil keputusan untuk memberhentikan BERSIH dan keluar daripada PR.
Pendekatan secara ekstrem yang berlaku di negara Timur Tengah bertukar kepada perang saudara, sekali gus menjadi proksi kepada kuasa besar yang mengambil tempat bagi melaksanakan penjajahan baru.
KRISIS TERKINI
Maka krisis yang belum selesai di Timur Tengah tetap mempunyai kaitan dengan mata rantai perancangan yang disebutkan di atas.
Setelah Timur Tengah ‘dibelasah’ dengan Arab Spring yang mentah hasilnya sehingga kini. Maka dicetuskan perang proksi dalam kalangan negara yang dahulunya dibahagikan mengikut lakaran peta Sykes-Picot kepada lakaran peta baharu Timur Tengah, mengikut pecahan baharu yang dirancang. Akan tetapi terus gagal dengan krisis yang berlaku di negara Barat sendiri.
Pecahan yang dirancang di Timur Tengah mengikut pecahan etnik, sistem politik, agama dan mazhab sangat mempengaruhi pergolakan di Timur Tengah. Perancangan itu telah berjaya memecahkan Iraq kepada wilayah Sunni dan Syiah, dan pecahan mengikut bangsa Arab, Kurdi dan Turkuman. Hari ini masih berlangsung usaha untuk memecahkan Syria dan Yaman.
Namun, sekurang-kurangnya agenda tersebut adalah untuk menyelamatkan negara haram Israel yang menjadi pengkalan terpenting bagi terus menguasai Timur Tengah. Sama ada dari segi mendapatkan bekalan sumber tenaga yang masih penting (petroleum dan gas) atau dari segi laluan penting Terusan Suez, Selat Hurmuz, Istanbul dan Gibraltar. Maka, Malaysia yang berada di Selat Melaka dan Laut China Selatan juga ada peranannya yang tersendiri.
Maka tempias krisis ini juga akan mempengaruhi politik di Malaysia. Usaha pengambilalihan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), gabungan yang didominasi oleh kalangan bukan Islam dan Islam liberal adalah sekadar ubat penahan sakit, sementara dilakukan rawatan selanjutnya. Tujuannya ialah untuk mengembalikan semula Islam sebagai penyelesaian dengan mengumpulkan umat Islam yang insaf serta menggabungkan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem ke arah merealisasikan masyarakat majmuk yang madani.
Pendekatan yang diambil adalah secara muwajahah silmiyyah melalui demokrasi berparlimen dan menolak cara yang ekstrem dengan mencegah campur tangan asing dalam perang proksi sepertimana yang berlaku di Timur Tengah.
Malaysia juga tidak berpihak dalam krisis antara negara sahabat di Timur Tengah, tetapi lebih mengharapkan usaha penyelesaian dan menjaga perpaduannya. Maka pengaruh gerakan Arab Spring di Malaysia yang cuba dilakukan tidak mendapat sambutan.
USAHA PENYATUAN UMMAH
Penyelesaian Islam hendaklah menjadi pilihan setelah gagalnya ideologi ciptaan manusia yang diimport, khususnya di Timur Tengah yang dahulunya berpecah belah mengikut ideologi blok Perang Dingin. Bagi umat Islam, kembali kepada Islam adalah satu kewajipan. Adalah berdosa membiarkan semua musuh pelbagai agama, bersatu menentang Islam tanpa mengira perbezaan agama sesama mereka dalam persekutuan Ahzab menghadapi Islam.
الكُفْرُ مِلَّةٌ وَاحِدَةٌ.
“Kekufuran itu ialah satu agama yang sama.”
Tiba-tiba umat Islam berpecah kerana faktor kebangsaan yang berlainan, pecahan geografi dan geopolitik yang dirancang oleh musuh dan perbezaan mazhab yang dijadikan seperti perbezaan agama.
Adalah satu kebebalan apabila krisis Timur Tengah bagi menyelesaikan isu Palestin itu berimamkan kepada bekas penjajah. Begitu juga apabila berlaku krisis Teluk, musuh pula yang dijemput bukannya hendak berdamai dengan negara sahabat seagama dan berjiran tetangga. Kawan dijadikan musuh, musuh pula dijadikan kawan.
Bagi bukan Islam yang hidup dalam masyarakat majmuk pula perlu diberikan kepercayaan, setelah selama ini mereka berjuang bersama ideologi asing dan menerimanya. Walaupun asing daripada mereka, kenapa mereka tidak boleh menerima penyelesaian Islam tanpa dipaksa menganut Islam?
Perpaduan berkonsepkan Islam pernah menciptakan sejarah kedaulatan Islam, kemudiannya menciptakan Hadharah Islamiyyah yang memimpin dunia dan menyambung risalah Islam ke seluruh penjuru dunia.
YB DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah
Bertarikh: 13 Rejab 1442 / 25 Februari 2021
[1] Dibentangkan di Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam Sosio-Politik (CIMS 2021) pada 13 Rejab 1442 bersamaan 25 Februari 2021, yang dianjurkan oleh UKM, TSIS Terengganu dan YADIM.