Home Berita PAS Terengganu

Himpunan Pahlawan Melayu platform promosi seni silat

23
SHARE

Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis

DUNGUN – Himpunan Pahlawan Melayu yang berjaya mengumpulkan 60 persatuan perguruan silat dari seluruh daerah di negeri ini berupaya menjadi platform mempromosikan seni bela diri itu terutama kepada generasi muda.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, himpunan tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk pesilat menunjukkan kemahiran mereka, tetapi juga sebagai usaha menggalakkan generasi muda memahami dan menghargai seni warisan bangsa.

“Semoga generasi muda terus menghayati dan meneruskan legasi yang penuh dengan nilai-nilai murni, keberanian, dan jati diri ini.

“Bersama kita martabatkan silat, warisan agung bangsa kita,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut yang diadakan sempena Karnival Smart Sura di Dewan Arena Merdeka di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, selain menjadi platform untuk mempamerkan keunikan dan kehebatan seni silat dari pelbagai perguruan, himpunan tersebut sebagai medium untuk memperkukuhkan ikatan persaudaraan di kalangan pesilat.

Pengajuran Himpunan Pahlawan Melayu oleh Pusat khidmat masyarakat DUN Sura itu dimeriahkan dengan pelbagai pertunjukan silat yang dipersembahkan oleh semua perguruan yang hadir, menampilkan variasi teknik dan gaya yang mencerminkan kekayaan seni mempertahankan diri Melayu.

Antara yang hadir sebagai jemputan khas ialah Ruzaidi Abd Rahman, lebih dikenali sebagai Wak Didi yang terkenal dalam dunia persilatan.

Wak Didi juga berkesempatan mempersembahkan kebolehannya dalam silat, memukau penonton dengan kecekapan dan kemahiran beliau.