Home Berita PAS Pahang

Hikmah banjir turut menjalin ukhuwah antara Cawangan

167
SHARE

Oleh: AZAHARI B.A.

PAYA BESAR, 16 Jan :: Antara hikmah yang terzahir ekoran dari musibah banjir baru-baru ini adalah terjalinnya hubungan ukhuwah antara dua pihak iaitu yang membantu dan yang dibantu.

Adalah suatu kebiasaan jika pihak yang membantu dan yang dibantu itu dari satu kawasan atau daerah yang sama. Tapi banyak juga berlaku bila mana kedua-dua pihak itu dari dua negeri yang berlainan dan berjauhan.

Ada juga pihak cawangan yang mengambil inisiatif untuk menyampaikan sumbangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di cawangan-cawangan yang lain.

Itulah yang telah diusahakan oleh ahli-ahli PAS Cawangan Kg. Chendering Lama di Parlimen Paya Besar, Kuantan apabila kelmarin menghulurkan bantuan dan salam ukhuwah kepada warga Kampung Pasir, Karak Setia yang terkesan dengan banjir besar baru-baru ini.

Menurut Ketua Cawangan PAS Kg. Chendering Lama, Kamaruddin Abd. Rahman, pihaknya telah mengambil inisiatif melalui kumpulan usrah cawangannya mengumpulkan bantuan berbentuk barangan makanan, keperluan harian, wang tunai dan naskah Al-Quran untuk disampaikan kepada penduduk Kampung Pasir.

“Kampung kami juga dilanda banjir tapi apa yang menimpa kami itu menjadi kecil sahaja jika dibandingkan dengan apa yang dialami oleh penduduk Kampung Pasir ini jauh lebih besar lagi.

“Atas dasar itu kami memilih beberapa cawangan lain dalam negeri Pahang ini untuk diziarahi dan dibantu,” kata Kamaruddin.

Turut serta dalam misi bantuan itu ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Sharuddin Hussin yang juga merupakan Naqib bagi kumpulan usrah cawangan tersebut.

Kedatangan mereka telah disambut oleh Ketua Cawangan PAS Bandar Karak, Md Nahowi Semoon yang turut menjadi jurupandu untuk membawa para tetamu itu mengunjungi setiap mangsa bagi menyampaikan sumbangan-sumbangan tersebut.

Dalam kunjungan itu sempat juga mereka mendengar sendiri pengalaman pahit yang dilalui mangsa-mangsa banjir semasa kejadian.

Sebelum itu kumpulan ini turut menghadiri program membaikpulih kenderaan-kenderaan yang ditenggelami air anjuran kelab motosikal Alternative Riding Club (ARC) DUN Sabai yang diadakan di dewan orang ramai berdekatan.