Home Artikel PAS Wilayah

Hikmah 40 Tahun Tarbiah Menyuntik Muhasabah Perwakilan MAT Titiwangsa

256
SHARE

Hikmah 40 Tahun Tarbiah Menyuntik Muhasabah Perwakilan MAT Titiwangsa

TITIWANGSA, 10 Ogos- Politik Malaysia telah melakar sejarah pada Mac 2020 dengan terbentuknya Kerajaan Perikatan Nasional sekaligus memberi ruang kepada PAS menerajui Kerajaan Persekutuan setelah 42 tahun sejak 1978.

Demikianlah penegasan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Al Fadhil Ustaz Azhar Yahya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa kali ke 35 di Dewan Aminuddin Baki, Wisma Putra semalam.

“Dalam sirah, Allah tarbiah kaum Nabi Musa terperangkap di padang pasir Sinai selama 40 tahun bersama Nabi Musa dan Harun, walau bagaimanapun bila 40 hari Nabi Musa tinggalkan mereka untuk terima wahyu Allah, kaum baginda khianat, ikut Samiri!

Perjuangan kita ni mahal nilainya. Selepas 40 tahun PAS keluar daripada Kerajaan Persekutuan dengan UMNO melalui Perikatan, Allah takdirkan Muafakat Nasional. Mula-mula ahli susah nak akur, paksa diri untuk taat pada arahan pimpinan, akhirnya Allah hadiahkan PAS berada dalam kerajaan hari ini, lebai PAS berjaya kembangkan pasaran sawit, lebai PAS cetuskan wakaf air. Ini lah hikmah bila Islam memimpin,” ujar beliau lagi.

Selain itu, Ustaz Azhar turut mengingatkan para perwakilan agar sentiasa bersiap siaga di segenap zon dan cawangan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 yang mungkin diadakan dalam penggal ini.

Sementara itu, Yang Di-Pertua PAS Kawasan Titiwangsa, Haji Khairul Anuar Abd Manap dalam ucapan aluan beliau telah menyeru para perwakilan agar menghentikan pemikiran pembangkang kerana PAS hari ini berada di blok kerajaan, maka ahli seharusnya peka dengan isu kebajikan rakyat, dan memastikan rakyat bersama dengan kerajaan untuk bangunkan negara dalam suasana harmoni.

Rentetan mesyuarat tersebut, terdapat dua usul yang telah diterima iaitu gesaan agar Kerajaan Perikatan Nasional mengambil tindakan tegas terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menceroboh negara dan usul supaya tindakan tegas dikenakan terhadap rakyat Malaysia yang mengingkari Rukun Negara.

Walaupun dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Mesyuarat Agung Tahunan tetap dijalankan mengikut SOP PKPP yang telah ditetapkan selain meminimakan kehadiran perwakilan ke MAT.