Home Minda Presiden

Hijrah: Petunjuk politik perpaduan umat daripada Al-Quran

220
SHARE

Minda Presiden PAS
HIJRAH: PETUNJUK POLITIK PERPADUAN UMAT DARIPADA AL-QURAN


 Firman Allah SWT:

﴿ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ ٱلۡكِتَٰبَ وَلَمۡ يَجۡعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ١﴾

“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), al-Kitab (al-Quran) dan Dia tidak mengadakan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).” (Surah al-Kahf: 1)

Pelantikan Rasulullah Muhammad SAW menjadi rasul akhir zaman bersama wahyu mukjizat al-Quran kepada seluruh manusia adalah melalui proses dakwah menarik hati manusia secara damai tanpa paksaan. Kerasulannya adalah berasaskan konsep manusia itu berkeluarga dan bermasyarakat madani (berkonsepkan tamadun dan Islam sebagai al-din).

Pelaksanaan Islam secara sempurna mewajibkan adanya kuasa politik mentadbir yang tidak terpisah daripada agenda dakwah. Khususnya, pada zaman mutakhir ini apabila pencapaian dan kemajuan teknologi telah menghubungkan seluruh dunia tidak seperti zaman dahulu.

Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menjadikan kalian (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kalian selalu meminta dengan menyebut-nyebutkan nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)

Bermula dengan Adam AS dan Hawwa’ AS (bapa dan ibu yang sama), kemudiannya berkembang biak lelaki dan wanita, berbagai-bagai bangsa dan suku kaum yang menganut pelbagai agama dan fahaman. Fitrah kejadiannya pula bercirikan jasad dan roh berbeza daripada kejadian para malaikat, serta bernafsu dan berakal tidak seperti binatang.

Bahkan, bernyawa dan bergerak tidak seperti batu dan kayu, serta hidup bermasyarakat dan bertamadun sehingga mampu mentadbir dan mengurus makhluk bumi dengan petunjuk Allah SWT.

Seterusnya Allah SWT berfirman:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian saling kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya, semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat: 13)

Segala kemampuan dan kebolehan, serta pengalaman dan ilmu daripada berbagai-bagai bangsa digabungjalinkan bagi memakmurkan bumi Allah SWT dengan petunjuk-Nya, serta dilantik para rasul oleh Allah SWT daripada kalangan mereka.

Para rasul itu berakhir dengan Nabi Muhammad SAW yang dinyatakan berita kelahirannya dalam semua kitab suci agama. Antara peranan rasul itu ialah mentadbir masyarakat dan negara yang berdaulat. Firman Allah SWT:

﴿تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai kerajaan (pemerintahan); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); Dialah Tuhan yang telah menjadikan mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1-2)

Rasulullah SAW yang dilantik kepada seluruh manusia bermula dengan mengumpulkan pengikut yang beriman daripada kaum keluarga dan kaum bangsanya. Seterusnya, mewujudkan suatu kumpulan yang kuat aqidahnya sehingga mereka yang bersedia untuk memimpin dan menghadapi pelbagai cabaran serta tentangan musuh daripada seluruh pelosok dunia, dengan meyakini kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٥٥﴾

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kalian (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah al-Nur: 55)

Namun, masih ramai lagi yang tidak percaya kepada janji kemenangan ini, walaupun mereka mempercayai keperibadian Rasulullah SAW dari segi akhlak dan ketokohannya menjadi pemimpin. Sehinggakan, ketika itu mereka bersedia untuk melantik Baginda SAW menjadi raja, bukan dengan membawa Islam. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka (yang kafir) berkata: ‘Jika kami mengikuti petunjuk yang kamu bawa itu, nescaya kami dengan serta-merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang).’ Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang didatangkan ke tempat itu hasil tanaman daripada segala jenis, sebagai rezeki pemberian di sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).” (Surah al-Qasas: 57)

Kepimpinan tanpa Islam yang berdaulat ditolak oleh Rasulullah SAW. Pada masa yang sama, Rasulullah SAW berusaha mendekati kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem walaupun mereka tidak memeluk Islam.

Golongan tersebut terdiri daripada kalangan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan tetap menjaga hubungan silaturahim. Begitu juga, daripada kalangan pemimpin yang bersifat fitrah kemanusiaan apabila mereka bencikan kezaliman dan kejahatan. Mereka diberikan peluang menunggu, berfikir dan melihat serta bersedia mempertahankan Rasulullah SAW dan melindunginya.

Setelah mendapat halangan berdakwah di Makkah, maka dakwah dipanjangkan kepada kalangan mereka di luar Makkah yang bersedia untuk menerima Islam dengan beriman dan sedia berkorban untuk mempertahankannya. Langkah tersebut dilaksanakan dengan mengambil kesempatan pada musim haji, ketika mereka datang menziarahi Makkah yang telah dibuka oleh Nabi Ibrahim AS yang turut membina Kaabah menjadi kiblat manusia. Bahkan, Baginda AS juga disanjung dan dipuja oleh penganut semua agama yang besar.

Apabila dua suku kaum (Aus dan Khazraj) dari Madinah menganut Islam dan berbaiah (memberikan janji taat setia) yang tidak berbelah bahagi dan sedia berkorban apa sahaja, maka diarahkan kepada sesiapa yang berkemampuan agar melakukan hijrah ke Madinah.

Perjalanan Rasulullah SAW melakukan hijrah dibantu oleh seorang pemandu jalan daripada kalangan bukan Islam (‘Abdullah bin Uraiqit), sehinggakan Baginda selamat sampai ke Madinah bersama Abu Bakar RA. Peristiwa ini menunjukkan penglibatan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam melaksanakan hijrah.

Setelah berkumpul di Madinah, maka langkah pertama yang diambil ialah menyatukan umat Islam daripada kalangan kumpulan Muhajirin (golongan yang berhijrah) dengan kumpulan Ansar (penduduk Islam Madinah yang membantunya). Penyatuan dilakukan berasaskan keimanan yang sama.

Hal ini demikian kerana, keimanan merupakan prinsip yang kukuh dalam diri manusia bagi mengawal diri mereka agar menjadi seorang yang patuh kepada petunjuk Allah SWT (Islam), sekali gus menjadikannya sebagai dasar negara. Pada masa yang sama, mengajak penyertaan masyarakat majmuk di Madinah.

Seterusnya, dimeteraikan Sahifah Madinah (Piagam Madinah) dengan penyertaan masyarakat yang menganut Islam serta golongan bukan Islam daripada bangsa Arab dan Yahudi yang tidak ekstrem. Golongan itu menolak kepimpinan mereka yang zalim dan fanatik, sehingga sanggup berperang dalam tempoh masa yang panjang tanpa sebarang penyelesaian.

Golongan bukan Islam menerima kepimpinan Islam yang berkonsepkan hak  kemanusiaan yang hidup bermasyarakat, dengan mengadakan kerjasama dalam perkara yang baik dan tidak memaksa dalam perbezaan agama tanpa sebarang gangguan. Hal ini berlaku kerana ingin memelihara keharmonian kemanusiaan yang bermasyarakat mengikut acuan al-Quran yang dinyatakan di atas, serta mengamalkan konsep adil kepada seluruh manusia. Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah, taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulu al-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Amanah yang paling besar ialah kepimpinan yang adil mengikut takrif para ulama’ melalui konsep beriman, berilmu dan berakhlak, sekali gus mewajibkan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya secara mutlak. Adapun ketaatan kepada pemimpin pula bersyarat, dan berprinsipkan aqidah (iman) yang berbeza dengan ideologi yang menjadi prinsip politik sekularisme yang berpisah daripada agama.

Keadilan kepada semua manusia itu hendaklah difahami dengan pengertian yang luas, bukan semata-mata terhadap rakyat masyarakat majmuk. Bahkan, termasuk juga terhadap musuh di luar sempadan negara atau kalangan yang tidak mematuhi undang-undang dalam negara. Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Oleh itu, Islam diterima dengan mudah, khususnya dalam kalangan yang lemah akibat dizalimi dan mereka yang terbuka akalnya dalam mencari kebenaran.

Maka, pengaruh Islam mula menembusi ke luar sempadan negara, sehingga kuasa besar dan kecil yang zalim menjadikannya musuh serta ancaman. Perkara tersebut bukanlah disebabkan oleh sifat Islam yang melampau atau zalim, tetapi kerana sifat adil dan kemanusiaannya mengikut fitrah yang sebenar.

Walaupun Islam dimusuhi dan diserang dari segenap penjuru, namun cahayanya tetap menembusi ke seluruh dunia. Malah, kedatangan Islam itu tidak dianggap sebagai penjajah, sebaliknya diterima menjadi penyelamat di mana-mana sahaja wilayah yang dimasuki.

Sekalipun Islam berkembang secara damai sahaja melalui hubungan perniagaan, namun keadaan ini menjadikan Islam diterima dengan mudah. Sehinggakan, Islam berjaya meredah Laluan Sutera (Silk Road) di Asia Tengah dan mengharungi lautan ke Asia Tenggara.

Islam berjaya mewujudkan sebuah negara besar bermasyarakat majmuk dalam masa beberapa abad lamanya dengan penuh kejayaan, sehinggalah berakhir dengan kejatuhannya. Hal ini terjadi kerana meninggalkan ajaran Islam, bukan disebabkan kegagalan ideologi yang kini berlaku di timur dan barat.

Walaupun kini ketika penganut Islam dalam keadaan  lemah  sehinggakan tanah airnya dijajah, namun pengaruh Islam sudah menembusi ke negara penjajahnya di timur dan barat.

Walau bagaimanapun, perkara yang paling menarik apabila Islam diterima oleh kalangan ilmuwan yang mencari kebenaran dan layak mendapat hidayah. Adapun golongan yang berilmu berada dalam keadaan sombong, sehinggakan tidak layak mendapat hidayah bersama golongan bodoh, jahil dan sesat yang menentang Islam secara fanatik tanpa hujah yang sebenar.

Firman Allah SWT:

﴿وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُوَ يُدْعَىٰ إِلَى الْإِسْلَامِ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٧ يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩﴾

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim. (7); Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya. (8); Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama (dan ajaran-ajaran yang lain) meskipun orang Musyrik membenci. (9)” (Surah al-Saff: 7-9)

Sekiranya Islam dilaksanakan dengan sempurna, nescaya perpaduan umat berpandukan petunjuk al-Quran yang pernah dicapai kejayaannya dapat diulang sekali lagi. Hal ini adalah bagi menyelamatkan dunia yang sedang dilanda krisis nilai yang disesatkan oleh ideologi liberal, dan tanpa agama yang sedang merosakkan hubungan sesama manusia dan alam sekelilingnya. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan (akibat) perbuatan buruk yang telah lakukan, supaya mereka agar kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Muharram 1444 / 10 Ogos 2022