Home Minda Presiden

Hijrah Menghadapi Penentangan Setiap Penjuru

1003
SHARE

Memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W adalah mempelajari Sirah Nabawiyyah yang menafsirkan Al-Quran secara amali, khusus untuk pendakwah dan penggerak Islam terkini.

Hijrah menunjukkan kewajipan menegakkan negara berdaulat yang dipimpin oleh Islam dan penganutnya yang memahami, beriman dan menghayati ajarannya. Tujuannya meneruskan risalah para Rasul di akhir zaman dan membawa rahmat bagi seluruh manusia bermasyarakat majmuk yang paling besar dan luas negaranya, ketika manusia dalam kegelapan jahiliah yang memuncaknya kezaliman dan kejahatan di seluruh dunia.

Berlakunya hijrah itu setelah terbentuknya satu kumpulan daripada generasi awal di kalangan umat Islam bagi mencapai janji Allah SWT:

 وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥ النور

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad S.A.W.) bahawa Dia akan menjadikan mereka para pemimpin yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka, yang berkuasa (memerintah negara) dan Dia akan menguatkan sehingga berkuasa kepada agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh dan penjenayah). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah An-Nur: 55)

Hijrah dilakukan oleh kalangan pilihan para sahabat Muhajirin dan Ansar. Dua kumpulan berjati diri iman, pengorbanan dan budiman. Ini dinyatakan dalam firman Allah:

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَواْ وَّنَصَرُوٓاْ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقّٗاۚ لَّهُم مَّغۡفِرَةٞ وَرِزۡقٞ كَرِيمٞ ٧٤ الأنفال

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah (Muhajirin) serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia rezeki yang mulia.” (Surah Al-Anfal: 74)

Kalangan Muhajirin adalah mereka yang benar-benar beriman setelah diuji selama 13 tahun di Makkah, sabar menunggu dengan beriman kepada Allah dan Rasulullah S.A.W, beriman juga kepada Islam yang diikuti dan percayakan janji kemenangan dunia yang tidak diketahui bila masanya serta yakin kepada wawasan akhirat yang belum berpijak di bumi nyata.

Mereka adalah kalangan Muhajirin yang kecil jumlahnya, menghadapi musuh yang mengepung daripada segenap penjuru di Makkah, ditentang daripada keluarga terdekat dan para pemimpin yang mempertahankan warisan jahiliah.

Muncul pula kalangan Ansar yang bersedia menerima Islam dan menghadapi cabaran yang datang daripada segenap penjuru, berbekalkan juga keimanan kepada Allah dan Rasul, serta percayakan janji kemenangan dunia yang dianggap mustahil oleh berbagai pihak dan meyakini wawasan akhirat yang tiada penghujungnya.

Muhajirin dan Ansar bergabung menjadi satu jamaah yang berjati diri iman, amal soleh dan akhlak yang mulia bersama Islam. Bersedia menunaikan kewajipan menegakkan Islam mengatasi segala yang lain walaupun dikepung di segenap penjuru.

Ketika itu kumpulan lain di kalangan Bani Amir dan Bani Kilab menolak kerana tidak adanya kabinet bayangan yang menjanjikan kedudukan kepada pemimpin mereka. Adapun Bani Syaiban pula sedia menerima Islam sekiranya pertandingan dua penjuru menghadapi kabilah Arab sahaja, tetapi bukan tiga atau empat penjuru menghadapi Rom dan Parsi, serta kabilah Arab. Mereka berundur apabila Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa bai’ah bersamanya mestilah bersedia menghadapi cabaran yang datang daripada segenap penjuru.

Inilah iktibar Hijrah Rasulullah S.A.W yang perlu diambil oleh pendukung Islam dan pendakwahnya terkini. Kerana Islam daripada Allah bersama janjinya yang benar, namun kewajipan pendukungnya merancang dengan bijaksana tanpa lemah melihat musuh yang datang daripada segenap penjuru.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 5 Muharram 1439 / 26 September 2017