Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Hanafi Zulkapli
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
HENTIKAN KOMERSIAL ARAK, MEMALUKAN NEGARA
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mendesak agar wujudnya satu tindakan yang tegas dan serius dalam memastikan isu berhubung arak dari sudut sensitiviti umat Islam dan kesan kemudaratan darinya ini diselesaikan dengan segera.
2. DPPNS sangat konsisten dengan pendirian bahawa arak yang dilesenkan ini perlu dikawal dengan peraturan yang jelas sebagaimana kerajaan Kelantan telah menunjukkan teladan dalam hal ini sejak 20 tahun lebih.
3. Terbaru, apabila tular berita arak berjenama Timah yang menerima anugerah peringkat antarabangsa. Ini bukanlah kebanggaan tetapi memalukan kerana Malaysia sebuah negara yang meletakkan identiti negara Islam menerusi peruntukan Perlembagaan bahawa Islam agama Persekutuan.
4. Hal ini tidak wajar kerana ia bersifat komersial yang mencarik sensitiviti ummah serta mencalarkan imej negara yang majoriti kalangan penganut Islam dan Ketua Agama kita adalah YDP Agong terdiri dari giliran Raja-raja Melayu yang beragama Islam.
5. Isu arak ini perlu dibantah oleh semua pihak dengan menyatakan bantahan serta desakan agar pihak bertanggungjawab menjalankan satu gerak kerja yang serius. Contohi negeri Kelantan dalam kawalan dan peraturan arak ini.
6. Sekalipun dikatakan ia bukan keluaran negara Malaysia, namun lesen kilang dan operasi adalah bawah kuasa kita. Pihak Berkuasa Tempatan serta kerajaan negeri mesti bertanggungjawab. Jangan hanya menuding kepada pihak lain. Kuasa di tangan kita, maka gunakannya dengan cara yang betul dan mendapat keredhaan Allah.
7. Umat Islam juga perlu bangkit bersuara dalam isu ini bagi menunjukkan kesatuan suara ummah dalam hal yang melibatkan sensitiviti agama. Usah jadi seperti PAN yang masih lagi senyap membisu dalam hal seumpama ini, langsung tiada kedengaran.
Islam Memimpin,
Pemuda Bangkit Demi Islam
17 Oktober 2021 | 10 Rabiulawal 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor