Home Berita PAS Selangor

Hentikan berpolitik, keluarkan rakyat daripada krisis ini – Setiausaha BPPN Selangor

7
SHARE

Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Tuan Hj Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor

Artikel | Semalam negara mencatatkan 8,868 kes baru Covid 19 iaitu kedua tertinggi setakat ini dengan 135 kematian iaitu antara yang tertinggi sejak pandemik ini menyerang.

Rakyat semakin resah dan gusar. Kesabaran semua pihak semakin menipis. Namun kita masih punya harapan memerangi wabak ini kiranya Pelan Pemulihan Negara berjalan lancar. Rabu lepas jumlah suntikan vaksin sehari mencecah 375,842 dos iaitu kadar yang tertinggi sehari mengikut rekod.

Jika jumlah penerima vaksin ini dapat dipertingktakan sehingga mencapai imuniti berkelompok, dengan izin Allah SWT tidak mustahil kita dapat keluar dari kemelut kesihatan yang paling serius sejak negara merdeka ini masuk suku keempat tahun ini.

Semua pihak sewajarnya memberi tumpuan dan fokus pada memerangi pandemik ini. Jangan tambah dan cucuh lagi api kemarahan rakyat yang insyallah akan terpadam sejurus tahap imuniti kelompok mula tercapai.

Sebagaimana naik mencanaknya kes baru semalam, suasana politik pun turut panas mencanak semalam. Uruskanlah ia dengan baik, jangan sampai ianya bergelojak luar kawalan. Semua pihak akan rugi dan lebih malang lagi kuasa politik nanti tidak mustahil terlucut dari tangan kita, kembali melonjak naik junjunglah si kaduk.

Perdana Menteri dengan perkenan Yang Dipertuan Agong telah pun melantik Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Umno sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru. Satu pengiktirafan dan penghormatan buat Umno. Begitu juga Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussien telah pun dilantik Menteri Kanan Keselamatan menggantikan tempat Dato Sri Ismail.

Cukup-cukuplah kita berpolitik dalam suasana mencabar ini. Pemimpin Melayu Islam sepatutnya kaya dengan budi-bicara, matang, berhemah dan kuat sabarnya. Sentiasa beringat dan beri keutamaan pada nasib dan masadepan agama dan bangsa kita.

Rakyat di luar sentiasa menilai dan melihat kita. Rakyat mahu pemimpinnya membawa mereka keluar dari pandemik ini.

Elok sangatlah diwaktu ini kita mengambil iktibar dari wasiat Almarhum Raja Ali Haji, ulamak dan pujangga Melayu Bugis silam di nusantara kita ini. Kata beliau:

Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hujjah.
Hendak dimalui,
jangan memalui.
Hendak ramai,
murahkan perangai.

Diwaktu mencabar ini, bersatu dan bertautlah para pemimpin dan anak-anak bangsa, jangan izinkan rakyat terus menderita dan sengsara. Letakkan mereka keutamaan kita. Moga Allah SWT kurniakan kejayaan pada kita.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor