Oleh : Ustaz Muhammad Najhan Halim
Allah berfirman dalam surah Al Fath ayat 1-3.
1. Sambutan kali ke 61 kemerdekaan negara Malaysia sejak 31 Ogos 2018 adalah satu tempoh tahap kematangan dalam proses memenuhi tuntutan kemerdekaan.
2. Anak-anak yang lahir sesudah merdeka tidak sekadar mengucapkan bersyukur atas segala perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu.
3. Generasi awal telah mengerah keringat dan segala-galanya termasuk jiwa dan raga mereka demi untuk memastikan anak-anak generasi terkemudian menikmati hasil perjuangan mereka tanpa perlu bersusah payah.
4. Selama lebih 400 tahun negara ini bersilih ganti dijajah daripada Portugis pada tahun 1511, diikuti Belanda tahun 1624, Inggeris tahun1824 dan kemudian Jepun tahun 1941 kemudian kembalinya Inggeris dan merdeka.
5. Sudah tentu selama 400 tahun lebih, kesan peninggalan penjajah memberi bekas mendalam kepada negara dan rakyat di negara ini. Daripada pemikiran, cara hidup, bahasa, ekonomi, budaya, pendidikan malah terhadap pegangan agama itu sendiri.
6. Kesan yang paling ketara daripada penjajahan di negara dan mana-mana yang dijajah adalah kedudukan Islam dihakiskan dan dikecilkan peranannya dan fungsinya sehingga ia dilihat tidak berupaya dan lemah.
7. Perjanjian Pangkor Inggeris dan Tanah Melayu pada tahun 1874 memanifestasikan rupabentuk Islam yang tiada fungsi atau dikecilkan peranannya.
8. Kemuncaknya Islam hanya melukut di tepi gantang atau bagai pungguk rindukan bulan dengan penerapan idea Sekuralisme dan pemisahan Islam daripada kehidupan.
9. Jatuhnya Islam dan kekalahan serta kemunduran umat Islam yang pada satu ketika dahulu pernah menguasai pelbagai aspek sehingga 2/3 dunia, bukan dengan pedang, peluru dan bom. Tetapi dengan ditanamkan pemikiran penjajah sebagai senjata terampuh untuk melembabkan Islam dan umatnya.
10. Kini penjajah sudah tiada, namun benih-benih yang ditanam dan dibajai penjajah pula dituai dan mengeluarkan hasilnya di negara yang pernah dijajah.
11. Walaupun umat Islam berjaya membebaskan belenggu fizikal penjajah, tetapi umat Islam masih dan terpaksa terus berjuang untuk membebaskan belenggu pemikiran penjajahan yang lebih merbahaya dan merosakkan.
12. Liberaslime atau dengan perkataan lebih mudah Islam tanpa syariat atau Islam tanpa ikatan agama adalah evolusi baru penjajahan di era pasca penolakan umat Islam kepada sekularisme.
13. Idea Liberalisme dilihat lebih halus dan lebih licik berbanding sekularisme disebabkan idea ini bukan menolak Islam terbuka dan tegar seperti sekularisme. Ia berlapik dan bertopeng dengan Islam untuk menolak Islam atau seperti musuh dalam selimut.
14. Idealisme ini turut berhujjah dengan Al Quran untuk menghalalkan apa yang haram, menggunakan hadis untuk mengharamkan apa yang halal, malah menggunakan akal semata-mata untuk mentakwilkan dalil mengikut selera nafsu songsang manusia.
15. Di samping, alasan kebebasan berfikir dan bersuara untuk membawa idea liberalisme sering dijadikan “the weakest point” kepada Islam kononnya Islam tidak memberikan hak demikian.
16. Umat Islam harus sedari dan fahami wajah-wajah ini sebagai ambil tanggungjawab samada menyedarkan mereka dan menyelamatkan yang lainnya agar kita benar-benar bebas menurut acuan petunjuk al Quran dan Sunnah Nabi saw.
17. Semoga negara Malaysia tercinta ini kembali kepada Islam dan rakyat negara ini dilimpahi kemakmuran dan keamanan dengan kesejahteraan yang dibawa oleh Islam.
Sayangi MalaysiaKu
Sejahtera Bersama Islam
Penulis adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
31 Ogos 2018 bersamaan 19 Zulhijjah 1439H