KUALA TERENGGANU – Siapa sangka minat mengait sejak berusia belasan tahun hingga menghasilkan pelbagai rekaan kraf berasaskan benang nilon seperti beg, sarung telur dan alas meja, membolehkan seorang suri rumah menjana pendapatan hanya dari kediamannya.
Menurut Rohani Ab Rahman, dia sudah menceburi bidang itu selama 21 tahun dan mula bergiat secara serius selepas berhenti kerja.
“Saya mula belajar mengait sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini sudah berusia 38 tahun.
“Selepas berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada anak kedua dan dalam masa yang sama saya kembali aktif dalam bidang ini,” katanya yang kini bergiat sepenuh masa dalam dunia kraf mengait.
Beliau dan keluarganya menginap di Felda Chalok Barat, Setiu dan sebelum ini hanya bekerja di stesen minyak.
Tambah Rohani, pada saat ini beliau mengiklankan produknya secara kecil-kecilan.
“Secara jujur, saya tiada sasaran pasaran yang tepat.
“Namun, ada yang membuat tempahan dan saya menghasilkan mengikut permintaan,” jelas ibu kepada dua anak itu.
Mengulas lanjut, dia mendapat ilmu mengait beg melalui kelas yang dikendalikan oleh Cikgu Robiah Mohd Jamil, seorang guru yang sangat hebat dalam bidang ini.
Kini, Rohani menerima banyak tempahan, terutama untuk beg jenis ‘tiang seri’.
Selain itu, dia turut mengambil tempahan sarung telur untuk majlis perkahwinan.
“Untuk beg, biasanya mengambil masa sekitar dua minggu untuk disiapkan menggunakan benang nilon.
“Manakala untuk sarung telur, tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya dua bulan sebelum majlis,” ujar beliau.
Rohani juga bersyukur bahawa hobi ini mampu memberikan pendapatan tambahan buat keluarganya.
“Suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah, dan saya pula tidak banyak mempromosikan hasil kerja ini dan hanya melalui kenalan serta dari mulut ke mulut.
“Harga beg yang dihasilkannya bermula dari RM200 ke atas, bergantung kepada saiz. Kos bahan memang tidak mahal, tetapi kemahiran yang kita ada itu yang bernilai,” katanya.
Walaupun hanya membuat kraf ini secara santai, beliau memahami ada yang berpendapat harga produknya mahal.
Tambah Rohani, tidak senang untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti tinggi.
“Kalau ada yang berminat, bolehlah hubungi saya melalui WhatsApp (016-6508926),” ujarnya.