Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

HARI WANITA SEDUNIA: LUASKAN MAKNA KEPIMPINAN WANITA

1356
SHARE

KENYATAAN MEDIA

HARI WANITA SEDUNIA: LUASKAN MAKNA KEPIMPINAN WANITA

Hari ini, kepimpinan wanita sering disinonimkan dengan penglibatan mereka sebagai pembuat dasar. Peratusan komposisi wanita sebagai ahli Lembaga Pengarah di syarikat tersenarai awam tertinggi (public listed companies) dan wakil rakyat di Dewan Rakyat, Dewan Negara serta Dewan Undangan Negeri menjadi kayu ukur kepada tahap penglibatan golongan ini dalam pembangunan negara.

Berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh The World Bank yang bertajuk “Breaking Barriers: Toward Better Economic Opportunities for Women in Malaysia”, kajian menunjukkan bahawa 60.2% wanita Malaysia menyatakan bahawa kerja rumah sebagai faktor utama mereka memilih untuk berhenti kerja. Hal ini menunjukkan rata-rata wanita di Malaysia telah memilih untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah selepas menerima kehadiran cahaya mata.

Memahami betapa pentingnya penglibatan wanita untuk menyumbang dalam pasaran buruh di Malaysia, program-program seperti “Career Comeback” adalah sangat baik dan perlu diteruskan bagi menggalakkan agar wanita yang menjadi suri rumah untuk kembali bekerja. Pada masa yang sama, inisiatif-inisiatif yang baru perlu terus diperkenalkan bagi memastikan suasana tempat kerja mesra ibu, seterusnya dapat membantu memudahkan wanita menguruskan keluarga.

Namun begitu, tanggapan bahawa wanita yang menjadi suri rumah sebagai membunuh potensi dan bakat kepimpinan yang boleh digunakan untuk membangunkan negara juga perlu diperbetulkan.

Hakikatnya, peranan wanita yang menjadi suri rumah tidak terbatas kepada pengurusan rumah semata-mata. Wanita merupakan tonggak kesejahteraan keluarga dan berperanan penting sebagai pendidik generasi akan datang. Semua ini turut memerlukan ilmu dan skil kepimpinan yang mereka pelajari di universiti.

Khidmat suri rumah juga tidak wajar dihadkan kepada ruang lingkup keluarganya semata-mata. Suri rumah boleh melibatkan diri dalam aktivisme sosial bagi memanfaatkan bakat kepimpinan dengan kepedulian dan kecaknaan yang tinggi terhadap masalah-masalah ummah. Sekalipun jika wanita tersebut tidak bekerja, ilmu dan bakatnya boleh dimanfaatkan dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan. Surirumah juga digalakkan untuk menubuhkan platform yang boleh membantu mereka aktif menyuarakan pendapat, idea dan cadangan dalam penggubalan polisi yang membabitkan golongan wanita.

Oleh itu, saya menyarankan agar Hari Wanita pada tahun ini disambut dengan semangat baru bagi memaknakan peranan kepimpinan wanita dalam keluarga dan masyarakat walaupun mereka tidak menceburi bidang politik dan pekerjaan.

Di kesempatan ini, saya juga mengharapkan agar sambutan Hari Wanita pada tahun ini tidak dicemari dengan acara yang bercanggah dengan syarak seperti himpunan yang mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Selamat Hari Wanita! Maknakan kepimpinan wanita walau di bidang mana pun kita berada.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
13 Rejab 1441H
8 Mac 2020