Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Hari Kemerdekaan Kali ke-62: Menyerap Semangat Hijrah

686
SHARE

Hari Kemerdekaan Kali ke-62: Menyerap Semangat Hijrah

Ulangtahun Kemerdekaan kali ini jatuh sehari sebelum 1 Muharram 1441H, kalendar bagi umat Islam sedunia.

Alhamdulillah Allah SWT menghadiahkan nikmat kemerdekaan yang sangat bererti bagi semua anak watan Malaysia pada 31 Ogos 1957, tarikh keramat yang telah melakar sejarah tanahair. Malaysia mendapat kemerdekaan daripada penjajahan British, jadilah Malaysia sebuah negara yang berdaulat.

Tahun ini, Kemerdekaan Malaysia mencapai 62 tahun dan sudah semestinya kita sudah merakamkan pelbagai sejarah dan memperoleh kemajuan serta pengalaman naik turunnya sesebuah negara yang membangun.

Generasi dahulu merintis jalan kemerdekaan dengan darah dan air mata. Generasi pasca Merdeka pula bertanggungjawab untuk menjaga kedaulatan, perpaduan dan keharmonian yang dikecapi ini.

Justeru itu, berbekalkan semangat dan ibrah dari peristiwa Hijrah Rasullah SAW, kita dapat memerhatikan satu semangat baru yang berkobar di hati umat Islam zaman itu untuk melihat satu perubahan baru yang segar dan membawa misi tauhid pembimbing manusia.

Merdeka yang sebenar ialah merdekanya jiwa daripada belenggu jahiliah dan toghut bukan hanya bebas daripada penjajah semata-mata. Mensyukuri nikmat kemerdekaan membawa jiwa kembali kepada pencipta. Melaksanakan perintahnya dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah SWT berfirman,

“Barangsiapa yang ingkar kepada Toghut, dan beriman kepada Allah , maka sesungguhnya dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha mendengar, Maha Mengetahui” (Surah Al-Baqarah : 256)

Tema “Sayangi Malaysiaku:Malaysia Bersih” memberikan satu gambaran besarnya tanggungjawab rakyat untuk menjaga Negara ini daripada segala anasir yang boleh merosakkan keharmonian Negara.

Sesuai dengan Firman Allah SWT,

“Adakanlah perjalanan di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu. kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan Allah” (Surah Ar-Rum : 42)

Oleh itu, DMPM menyeru seluruh kepimpinan dan rakyat Malaysia untuk menghayati makna kemerdekaan negara dengan mengukuhkan urus tadbir sesebuah negara mengikut lunas perlembagaan negara yang terpateri. Harmonikan juga makna beragama di kalangan rakyat agar kita semua terpandu mengikut acuan wahyu.

Akhir sekali, Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan Kali Ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia. Marilah bersama membina Baldatun Tayyibatun Warobbun Ghafur, Negara yang baik yang diredhai Allah SWT.

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

SENATOR YB USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
31 Ogos 2019 bersamaan 30 Zulhijjah 1440H