31 JANUARI 1942 (SABTU)
PADA hari ini dalam tahun 1942, tentera Jepun telah menakluki seluruh Tanah Melayu apabila mereka berjaya menawan Johor Bahru. Kemenangan Jepun ini dicapai dalam masa sebulan lebih iaitu mulai 8 Disember apabila mereka mendarat di Kota Bharu.
Kejatuhan Tanah Melayu yang begitu mudah adalah akibat salah perhitungan pihak British terhadap kekuatan tentera Jepun. Sebaliknya tentera-tentera Jepun telah dilatih khas untuk berperang di negeri-negeri tropika.
Mereka dilatih di Taiwan dan Selatan Indo-China dan diajar cara-cara menghadapi malaria dan menggunakan apa juga kenderaan terutamanya basikal untuk memudahkan gerakan serangan mereka.
Pemerintahan British kurang membuat persiapan untuk menentang kemaraan Jepun di rantau Asia Tenggara. Peperangan dunia kedua di Eropah telah membuatkan Kerajaan British menumpukan kekuatan tenteranya di sana.
Pihak British menganggap kekuatan Jepun sebagai satu perkara yang mudah kerana kedudukan ekonomi Jepun pada waktu itu tidak mengizinkan penglibatan penuh negara itu dalam peperangan ini.
Britain menganggap kekuatan tentera lautnya di Lautan China Selatan boleh mematahkan serangan tentera Jepun. Tetapi dengan tenggelamnya kapal-kapal Prince of Wales dan Repulse oleh serangan tentera udara Jepun di Laut China Selatan pada 10 Disember 1941, pertahanan tentera British di barisan hadapan telah menjadi lumpuh.
Kemaraan tentera Jepun tidak dapat dihalang walaupun mereka hanya mempunyai 60 ribu orang tentera berbanding dengan 130 ribu dan dua kali ganda bekalan peluru di pihak British.
Dengan menggunakan kekuatan angkatan udaranya dan menyelaraskan bahagian-bahagian yang lainnya dalam satu serangan yang padu, mereka telah berjaya menakluki Tanah Melayu.
Lt. General Percival, Pemerintah Tentera bagi Tanah Melayu tiada pilihan lain dan terpaksa menyerah diri kepada Lt. General Yamashita, Pemerintah Angkatan Tentera Ke-25 Jepun, pada 15 Februari 1942 di kilang Kereta Ford, Jalan Bukit Timah, Singapura.
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia