Home Berita PAS Perlis

Hari Guru PASTI Malaysia disambut meriah secara maya

100
SHARE

Oleh MUHAMMAD NAZRI ABDULLAH

KANGAR, 27 Jun: Hari Guru PASTI Malaysia 2021 mencipta sejarah kali ini apabila semua warga PASTI memyambutnya secara dalam talian.

Sambutan kali ini berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya berikutan keadaan negara yang masih lagi berdepan melawan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah PASTI Malaysia Ustaz Syarhan Humaizi Halim dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada para guru PASTI atas pengorbanan serta komitmen yang ditunjukkan.

“Tiada individu yang mulia membawa manusia mengenal Tuhan, menyelamat dari terjerumus ke lembah kehinaan, menggenggam erat berenang di lautan kehidupan. Tugasnya mewarisi pusaka tugasan para Anbiya.

“Walaupun jasad sudah dimamah usia, Individu ini hidup dalam denyut nadi masyarakat.

“Individu yang saya maksudkan adalah insan yang bernama guru PASTI,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menggariskan enam ciri utama yang perlu ada bagi lepasan institusi pendidikan PAS iaitu mempunyai pemahaman akidah yang mantap.

Selain itu, kemahiran berfikir dalam kerangka tasawur Islam, mereka turut perlu memiliki kemahiran komunikasi dalam pelbagai bahasa, mempunyai ketinggian adab dan akhlak, mempunyai jati diri Islam yang kukuh tanpa mengenepikan sifat patriotisme kepada negara serta kepimpinan yang menekankan aspek iman dan ihsan.

Katanya lagi, ajakan minda serta tranformasi cara kerja ini perlu dilibatkan semua di kalangan pengurus, para guru,murid-murid dan ibu bapa.

“Bagi memastikan kita selari dengan perkembangan dan perubahan semasa, komitmen semua merupakan tunjang yang pada saya tidak berbelah bahagi,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian sambutan berkenaan.

Dalam pada itu, Cikgu Noriah Koter dari Terengganu telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru PASTI Malaysia 2021 manakala Cikgu Norizan Hassan dari Selangor pula terpilih menerima Anugerah Siti Khadijah.

Lain-lain anugerah yang turut disampaikan ialah Anugerah Tokoh Guru Negeri dan Anugerah Guru Lama Berkhidmat yang diberikan kepada wakil setiap negeri.