Home Berita PAS Pusat

Hari Assabiqun dilancar di Kelantan

1060
SHARE

HARI Sidang Assabiqun sehari yang bakal diadakan di setiap negeri dilancarkan di Ketereh, Kelantan pada 5 Oktober ini.

Selepas itu Sidang Assabiqun negeri akan mengadakan Hari Assabiqun mengikut tarikh yang akan ditentukan negeri.

Hari Assabiqun ini adalah himpunan santai bagi memperingati para jasawan PAS yang satu masa dulu mengorbankan tenaga, masa dan harta untuk melangsungkan perjuangan segigih mungkin demi mendaulatkan Islam bagi orang perseorangan, keluarga, masyarakat dan negara seluruhnya.

Tiada mereka tiadalah PAS yang meraikan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai 14 September lalu.

Kebanyakan mereka yang berusia 55 tahun ke atas, justeru usia lanjut, uzur dan tidak lagi aktif dan memimpin parti, tetapi masih memberi sokongan dari kediaman masing-masing mengikut cara sendiri.

Peranan mereka dulu, kini telah diambil oleh aktivis pejuang generasi baru.

Kerana PAS sentiasa sibuk, tidak banyak masa lapang, hingga para jasawan kadang-kadang terbiar.

Bagi meraikan mereka, dan bagi memastikan mereka sentiasa diberi perhatian, diwujud lajnah dalaman Sidang Assabiqun supaya mereka istiqamah dan terus dalam perjuangan.

Hari Assabiqun yang santai adalah cara paling mudah untuk mengenang dan menilai jasa mereka.

PAS negeri dan assabiqun dicadang mengadakan kenduri rakyat, gotong-royong mengadakan gulai kawah.

Sekalian simpatisan boleh dihadir, dijamu seadanya. Kenduri adalah makan percuma. Mana ada kenduri mengenakan bayaran.

Yang dirai adalah pejuang lama, yang meraikannya adalah penyokong tua dan muda.

Orang lama ini yang dilayan oleh generasi selepas mereka nescaya rasa terhibur dan terus bersemangat untuk melihat PAS berjaya dan dalam wakttu yang terdekat berkat Piagam Muafakat Nasional, akan melihat Putrajaya dapat dicapai.

Warga assabiqun dengan usia dan tenaga yang tidak lagi banyak keinginan seperti mudanya dulu.

Apa yang mereka mahu ialah mereka dikenang dan dihargai.

Untuk menjayakan Hari Assabiqun itu kawasan-kawasan PAS di Kelantan memberi tahu saya sedia menyumbangkan lembu dan kerbau.

Kelantan mahu Hari Assabiqun ini disegera sebelum tiba musim banjir.

Orang yang mulia di sisi Allah ialah orang yang tahu memuliakan orang lama. PAS akan dilihat mulia apabila Assabiqun mengambil langkah memuliakan para jasawan yang banyak berkorban dulu.

Setiap negeri diminta Kelantan menghantar 300 peserta. Tetapi yang meramaikan tentulah orang Kelantan sendiri. – HARAKAHDAILY 1/10/2019

Sumber: https://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/13-pimpinan/kolumnis/13414-hari-assabiqun-dilancar-di-kelantan