Home Berita Presiden

Halatuju & Pendekatan Gagasan Sejahtera Dan Pelancaran Manifesto Malaysia Sejahtera

1896
SHARE

SYARAHAN PERDANA PRESIDEN PAS

“HALATUJU & PENDEKATAN GAGASAN SEJAHTERA DAN PELANCARAN MANIFESTO MALAYSIA SEJAHTERA”

Astana Banquet Hall, Cyberjaya
1 Rejab 1439 / 18 Mac 2018

Mesej politik Islam yang dipimpin oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama dengan rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera adalah untuk melakukan perubahan bagi memimpin negara, memperbaiki kerosakan, menjadi penyelamat dan mengemukakan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat, masyarakat dan negara.

Tugas ini adalah berat, dan tidak cukup hanya dengan laungan dan retorik politik semata-mata tetapi hendaklah diperkuatkan dengan prinsip yang jelas dan pendekatan yang sesuai dengan suasana masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita ini.

Perlulah juga kita sedari bahawa Islam telah menunjukkan bahawa punca dan sebab paling utama adalah masalah melencongnya aqidah dan rosaknya akhlak, sehingga institusi kekeluargaan menjadi tidak tenteram, masyarakat hilang punca, bernegara dijadikan sebab untuk mengaut keuntungan duniawi, nafsu mengatasi akal, dan sebagainya. Tetapi aspek menekankan akidah dan akhlak kadangkala tidak diminati oleh setengah masyarakat umum hari ini untuk diselesaikan kerana mereka hanya berfikir mengenai masalah kehidupan yang sangat menekan, dan bagaimana untuk meneruskan kehidupan seharian dengan apa cara sekalipun. Akhirnya kita hanya bertindak untuk menyelesaikan masalah di depan mata sahaja, tanpa melakukan perubahan kepada kemanusiaan, sistem kenegaraan dan kaedah pelaksanaan bernegara.

Pada hari ini saya ingin mengajak para hadirin untuk menginsafi bahawa Malaysia adalah negara berbilang agama – kaum – etnik yang merupakan satu tapak yang subur untuk membina semula peradaban umat Islam dan sebuah negara Malaysia. Kepelbagaian ini disatu sudut adalah satu cabaran yang rumit, dan disatu sudut yang lain pula adalah suatu kelebihan yang boleh digunakan oleh kita untuk membina sebuah negara Malaysia yang sejahtera dan harmoni.

Maka dengan mengambilkira apa yang ada dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang dengan terang menjelaskan bahawa : “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”, maka tentunya amalan Islam sebagai agama persekutuan sewajarnya boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana – mana Bahagian Persekutuan. Maka jelasnya, Islam perlulah diberi peranan utama untuk membina Malaysia sejahtera, dengan acuan tafsirannya yang sebenar dan tidak tersasar.

Mendewasakan Malaysia Hari Ini

Malaysia bukanlah sebuah negara yang gagal. Kita dilimpahi dengan berbagai sumber hasil dan potensi yang terbentang luas. Rakyat perlu dibimbing, pemimpin pula mesti mempunyai akhlak dan keikhlasan serta kemahiran untuk memimpin. Dasar dan halatuju negara yang cantik sahaja tidak cukup kerana kita memerlukan pelaksanaan dasar negara yang tidak tiris serta jauh dari bercampur dengan rasuah yang membarah.

Tidak dinafikan bahawa diwaktu ini kita sedang berhadapan dengan masalah-masalah besar dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Masalah dalam aspek politik ialah seperti politik wang dan politik kebencian. Masalah dalam ekonomi seperti hutang isi rumah yang semakin membesar dan jurang kaya-miskin yang semakin melebar, termasuklah kos sara hidup yang menekan rakyat terbanyak. Masalah dari segi sosial seperti goyangnya perpaduan kaum, peningkatan kadar jenayah dan keruntuhan moral berleluasa, kehidupan beragama yang dihimpit kiri-kanan oleh gaya hidup bebas, dan sebagainya.

Sebagai enjin yang menggerakkan negara ini, kita juga mempunyai jentera kakitangan awam dan kerajaan yang mempunyai kelayakan dan kecekapan dalam melaksanakan tugasnya, dan juga golongan korporat yang bersungguh-sungguh membangunkan negara.

Bukan semua dasar-dasar yang telah digubal oleh kerajaan tidak selaras dengan ajaran Islam dan tidak membawa kebaikan kepada negara dan rakyat. Sekiranya ada dasar-dasar yang tidak membawa kebaikan, maka kita perlu melakukan penambahbaikan, supaya ianya akan lebih efisien dan pelaksanaanya yang bebas dari rasuah dan apa jua bentuk penyelewengan.

Di waktu ini kita perlu mengakui bahawa pelaksanaan dasar-dasar tersebutlah yang banyak menimbulkan masalah. Penyelesaian kepada perkara tersebut memerlukan sistem semak imbang yang baik, mengurangkan campurtangan politik dalam jentera pelaksanaan dan menanam nilai-nilai murni Islam dalam kalangan pelaksana-pelaksana dasar.

Oleh sebab itu, GAGASAN SEJAHTERA dan PAS mengambil sikap yang adil dalam berhadapan dengan permasalahan yang dihadapi oleh negara pada hari ini. Antaranya ialah:

a. Menghormati mandat rakyat yang memberi kemenangan kepada sesebuah parti politik memerintah, dan tidak menumbangkan kerajaan melalui ‘cara pintu belakang’.

b. Menyertai pilihanraya sebagai kaedah sebenar untuk menukar kerajaan yang lebih baik serta mengemukakan dasar dan amalan bernegara yang terbaik melalui manifesto dan tawaran pilihanraya.

c. Menjadi pembangkang yang matang dan sejahtera, di mana menegur kerajaan dalam perkara yang tidak dipersetujui dengan memberi cadangan alternatif. Pada masa yang sama boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan rakyat dan umat manusia.

d. Mengelakkan campurtangan asing dalam menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sosial negara, apatah lagi mengundang golongan yang mempunyai rekod jenayah antarabangsa, keras terhadap umat Islam, mencerobohan terhadap negara-negara lemah dan sebagainya.

e. Menolak sekerasnya politik fitnah yang membinasakan keharmonian.

Sistem Pilihan Raya di Malaysia mesti di perbaiki proses demokrasinya dengan memberi peluang seimbang kepada semua parti-parti politik untuk berlawan secara sihat di padang yang sama rata atau meraihkan kemenangan. Masih ada ruang yang banyak untuk melakukan penambahbaikan seperti memberi peluang saksama untuk parti-parti politik berkempen dalam media kerajaan dan mewujudkan batas yang jelas peranan kerajaan peralihan atau care taker.

Malaysia Sejahtera Pasca PRU 14

GAGASAN SEJAHTERA perlu diberi peranan yang lebih besar untuk mencorakkan negara Malaysia ke arah kesejahteraan. Rakyat boleh melihat peranan yang dimainkan oleh PAS, IKATAN dan BERJASA serta NGOs dan NGIs bersama GAGASAN dalam menangani isu GST, TPPA, DLP dan lain-lain isu dalam negara, serta isu membela nasib Rohingya dan Baitul Maqdis.

GAGASAN berusaha untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi yang ditandingi, dan jumlah kerusi yang ditandingi jauh melepasi 112 kerusi, iaitu majoriti mudah. Kami sedar bahawa tugas ini sememangnya berat, tetapi akan terus komited untuk bersama dengan kelompok masyarakat tidak berparti, tokoh masyarakat, cendekiawan, ilmuan, dan orang perseorangan untuk menambahbaik perjalanan negara kita ini. Tugas kita juga bukan terhenti pada PRU-14 semata-mata, bahkan akan berterusan selepas dari itu.

Penutup

Sebagai menunjukkan kesediaan GAGASAN SEJAHTERA, maka kami telah mengemukakan dokumen-dokumen rasmi yang dihasilkan oleh GAGASAN SEJAHTERA sendiri atau parti-parti komponen seperti Memorandum GAGASAN tentang dana politik, barah rasuah dan isu FELDA. Juga dokumen rasmi yang dihasilkan oleh komponen GAGASAN seperti Resolusi Kongres Rakyat Kebangsaan, Resolusi Kongres Rakyat Negeri-negeri, Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Hari ini kami melancarkan satu lagi dokumen rasmi iaitu Manifesto Malaysia Sejahtera.

Ringkasannya ialah pada hari ini akan dikemukakan sebuah Manifesto Nasional – Peringkat Pertama yang mempunyai Sembilan Teras Utama iaitu:

1. Mewujudkan Pentadbiran Yang Telus Dan Beramanah, Membasmi Rasuah Dan Menyekat Penyalahgunaan Kuasa

2. Meningkatkan Pendapatan Dan Menjana Peluang Pendapatan Baru Untuk Rakyat Marhaen

3. Meredakan Kesan Inflasi Dan Kenaikan Kos Sara Hidup

4. Mengurangkan Jurang Agihan Dan Kekayaan Ekonomi Di Antara Kawasan Bandar Dan Luar Bandar

5. Meningkatkan Kualiti Pendidikan Ke Arah Pembinaan Modal Insan Cemerlang

6. Mengharmonikan Sistem Perundangan Dan Pentadbiran Negara Selaras Dengan Tuntutan Syariah

7. Mengembalikan Hak-hak Negeri Berasaskan Konsep Federalisme

8. Memperkasakan Suara Rakyat Untuk Menyuarakan Pendapat Dan Membuat Keputusan Selaras Dengan Tuntutan Syura Dan Demokrasi

9. Memperkasakan Sistem Sokongan Sosial Kepada Golongan Yang Memerlukan

Penjelasan lanjut mengenai keseluruhan kandungan Manifesto pula akan menyusul di hadapan tuan/puan sekelian.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa dan bertawakkal pada Allah Tuhan Rabbul Jalil, agar kita semua diberikan pertolongan dan panduan oleh Allah dalam kita melaksanakan tugas serta tanggungjawab untuk menjadikan tanah tumpah darah kita ini sebagai sebuah negara yang sejahtera dan harmoni.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Pengerusi GAGASAN / Presiden PAS

Lagi gambar (Kredit Foto : Lensa Haraki):