Home Berita PAS Wilayah

Hak Yang Dijamin, Untuk Rakyat Sejahtera

827
SHARE

<<PemudaPASBatuMind#14>>

HAK YANG DIJAMIN, UNTUK RAKYAT SEJAHTERA

1. Apabila berbicara tentang hak, kebanyakan aktivis rakyat sentiasa lantang memperjuangkan kebebasan yang tidak perlu disekat. Dalam era politik Malaysia baru, kumpulan atas nama pejuang hak asasi manusia terus semakin aktf dan membuat pelbagai tuntutan hak.

2. Dalam sistem perundangan di Malaysia, setiap rakyat telah diberi jaminan hak dalam kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan sebagaimana telah tertakluk dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan [I]. Namun, setiap hak pasti ada hadnya, sekiranya seseorang individu melakukan perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau apa-apa benda lain menjadikan perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain itu sebagai yang mempunyai kecenderungan menghasut akan dikenakan hukuman di bawah Akta Hasutan 1948 [II].

3. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pada definisi kedua, hak bermaksud kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu (yang ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat, dan lain-lain) [III]. Perkataan hak itu sendiri adalah berasal dari bahasa Arab iaitu kebenaran.

4. Rakyat Malaysia perlu mengambil perhatian, jangan terlalu obses dengan perjuangan hak sehingga mengabaikan hak yang lain, hak agama, hak negara, hak tradisi dan budaya setempat, hak rakyat lain yang tidak semua mahu menuntut hak yang sama. Kita mesti menjadi warganegara yang sejahtera, adil dalam menangani sesuatu.

5. Dalam konteks Islam sendiri, setiap perbuatan ada hukumnya, setiap hukum ada penilaiannya. Tidak wajar untuk melakukan apa sahaja tanpa batasan, kerana kita mempunyai peraturan-peraturan di dunia ini. Tidak mungkin sesuatu komuniti yang aman, berinteraksi tanpa limitasi peraturan tertentu dalam dunia ini. Neraca Islam menetapkan pahala dan dosa yang membawa ke syurga atau neraka, sentiasa meletakkan konsep ihsan dalam setiap perbuatan, iaitu merasakan diri sentiasa dilihat oleh Allah. Ini seiring dengan matlamat penciptaan manusia sebagaimana firman Allah :

((وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ))
“Dan tidak aku ciptakan manusia dan jin kecuali untuk menyembahku”

[Surah Ad-Dzariyat : 56]

6. Sebagai penutup bicara, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan nilai-nilai keamanan dalam negara tercinta ini. Setiap rakyat seharusnya mempunyai satu nilai prihatin yang tinggi antara satu sama lain bagi meneruskan keharmonian hidup berbilang kaum. Janganlah ada kumpulan tertentu yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu menghancurkan institusi masyarakat kita hari ini.

[I] http://www.jpapencen.gov.my/cat…/published/perkara10-Ma.Html

[II] http://www.mediamalaysia.net/…/Akta-15-Akta-Hasutan-1948.pdf

[III] http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hak

[Ditulis Oleh Mohd Norhan Hamsi, Ketua Pemuda PAS Batu]

®Diterbitkan Oleh Penerangan Pemuda PAS Batu✓

#socialtalk
#pemudaPASBatu

LIKE FB PAGE
Pemudabatu.com