“GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN”
Kita menerima hakikat bahawa institusi perguruan dalam sektor pendidikan merupakan faktor utama kejayaan dalam pembangunan insan dan jati diri rakyat Malaysia. Bermula dengan pendidikan pra sekolah, peringkat rendah, sekolah menengah sehingga universiti mahu pun ditempat pengajian pondok tidak dapat lari daripada peranan seorang guru.
Peranan guru sebagai pendidik untuk melahirkan manusia bukan sahaja diberi ilmu bahkan diasuh dengan acuan yang memenuhi fitrah, naluri, sifat semulajadi dan tujuan diciptakan manusia oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri kepada Allah, memakmurkan bumi (khalifah) dan menunaikan amanah dengan adil.
Negara perlu mengikut acuan pendidikan yang diajar oleh Allah SWT berteraskan pendidikan holistik (menyeluruh dan bersepadu) berpaksikan ketuhanan yang selari dengan ayat pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, إقرأ باسم ربك الذي خلق (Bacalah! Dengan Nama Tuhanmu yang menciptakan).
Apabila pendidikan negara yang menjadi acuan pembangunan insan tidak mengikut ciri-ciri kejadian dan peranannya, nescaya melahirkan manusia yang tidak mengikut petunjuk Allah dalam melaksanakan cara hidup sama ada individu atau bermasyarakat yang melibatkan politik, ekonomi, sosial kemanusiaan dan masyarakat madani.
Maka guru yang cemerlang ialah guru yang memikul tanggungjawab untuk mengisi jiwa anak muridnya dengan nilaian roh, akal dan jasad bagi memenuhi fitrah insani demi mencapai matlamat manusia diciptakan.
Akhirnya, kami ingin mengucapkan sekali lagi selamat menyambut Hari Guru kepada semua warga pendidik walau di mana anda berada.