Home Berita PAS Perlis

Guru PASTI tunjang penting sistem pendidikan negara

315
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 17 Mei: Guru-guru PASTI merupakan tunjang paling penting dalam sistem pendidikan negara.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Arau, Noramrul Amri Chan, ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Guru dan Jamuan Aidilfitri PASTI Kawasan Arau yang berlangsung pagi ini.

Menurutnya lagi, biarpun hanya mendidik di peringkat pra-sekolah, peranan serta kefungsian para guru PASTI tidak terbatas malah lebih besar serta mencabar berbanding para pendidik yang lain.

Tambah Noramrul, guru kini bukan lagi sekadar menyampaikan ilmu malah turut bertanggungjawab membentuk sahsiah para murid agar menjadi insan yang terpuji.

“Guru juga adalah insan yang akan memastikan murid dibekalkan dengan sahsiah yang terpuji serta daya saing yang tinggi melalui penjiwaan amalan baik yang diterapkan di gedung ilmu secara semula jadi iaitu pembudayaan nilai murni, kemahiran dan sikap positif,” katanya.

Ujar beliau lagi, selaras dengan tema sambutan Hari Guru PASTI Malaysia pada tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang PASTI SEJAHTERA’, setiap guru juga perlu sentiasa menerapkan 14 elemen ‘SEJAHTERA’ bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan mesra pembelajaran.

“Namun, di peringkat PASTI yang merupakan prasekolah PAS, elemen ini sebenarnya sudahpun dipasak kukuh dan menjadi amalan ke arah pendidikan rabbani serta kemenjadian murid secara holistik,” katanya.