Home Artikel PAS Perlis

Guru PASTI Sayap Perjuangan PAS

629
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Guru PASTI bukan sahaja berperanan sebagai pendidik, bahkan mereka turut diiktiraf sebagai sayap dalam perjuangan PAS.

Demikian dijelaskan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, ketika berucap dalam Usrah Perdana PASTI Negeri Perlis Siri 3/2019 pada 6 Julai lalu.

Menurutnya, peranan guru pada hari ini tidak lagi terbatas di dalam kelas semata-mata sebaliknya mereka juga menjadi antara golongan yang amat berpengaruh dalam mencorak kesedaran masyarakat.

Justeru beliau mengingatkan, penguasaan ilmu dakwah menjadi suatu kemestian kerana ilmu berkenaan merupakan ‘alat’ paling penting dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat.

“Para guru PASTI adalah sayap dalam perjuangan PAS, yang sentiasa bergelumang dengan masyarakat, maka kuasailah ilmu dakwah dengan baik agar mereka dapat kita bimbing (ke arah kebenaran) dengan berkesan,” katanya.

Seramai 80 orang guru PASTI hadir dalam program sepagi bertempat di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) dekat sini.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan para guru supaya sentiasa memurnikan fikrah perjuangan, demi melahirkan kemanisan dalam perjuangan dan kehidupan.

Ini katanya boleh dilakukan dengan memahami secara jelas dan tepat berkenaan lima prinsip perjuangan.

“Fahami lima prinsip yakni matlamat perjuangan, tujuan perjuangan, silibus perjuangan, realiti dan persiapan dalam perjuangan,” ujarnya.