Home Berita PAS Perlis

Guru PASTI Perlu Miliki Jiwa Murabbi

1570
SHARE

Oleh : Muhammad Hadi

PADANG BESAR : Guru-guru PASTI perlu memiliki jiwa murabbi bagi membina generasi tunas Islam yang unggul, demikian tegas Ustaz Muhammad Azmir Azizan, Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis.

Katanya, antara ciri yang dimiliki oleh seseorang murabbi adalah seperti bersungguh-sungguh (jihad), berperancangan (sistematik) serta bekerja dengan penuh keikhlasan.

Tambah beliau, ciri-ciri sedemikian amatlah diperlukan kerana tugas mendidik pada hari ini merupakan suatu tugas yang cukup mencabar manakala guru-guru pula terdedah dengan pelbagai cabaran dan halangan yang boleh melemahkan mereka dalam
melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Justeru, beliau mengingatkan para guru PASTI agar sentiasa bersabar dalam memikul amanah mendidik, di samping beristiqamah agar segala pengorbanan mereka mendapat penilaian yang baik di sisi Allah S.W.T.

“Orang yang berkata Allah sebagai Tuhan dan kemudian dia beristiqamah, tidak akan berasa bimbang dan mereka pula tidak bersedih hati.

“Istiqamah adalah satu nilai yang tinggi dalam sebuah perjuangan dan mereka yang istiqamah pasti akan mendapat habuan yang besar daripada Allah SWT.,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Kem Sahsiah Guru (KSG) 2018, anjuran PASTI Negeri Perlis.

Seramai 17 orang guru pelatih termasuk dua peserta dari negeri Kedah yang mengikuti Sijil Perguruan PASTI telah menyertai kem berkenaan.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menjelaskan betapa PAS sentiasa komited dalam perjuangan memartabatkan bidang pendidikan di negara ini.

Sebagai bukti katanya, PAS telah memiliki institusi pendidikan di pelbagai peringkat, bermula dari PASTI hinggalah ke peringkat Kolej Universiti, meskipun belum memerintah negara.

Justeru katanya, komitmen yang tinggi adalah diharapkan daripada seluruh warga pendidik, khasnya para guru PASTI, untuk bersama-sama PAS dalam menjayakan perjuangan (memartabatkan bidang pendidikan) tersebut.