Oleh: Muhammad Hadi
KANGAR : Peranan serta pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh para guru PASTI khususnya dalam bidang pendidikan di negara ini amatlah besar dan tidak ternilai, demikian menurut Pengarah PASTI Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil.
Ujarnya, sikap gigih dalam menuntut ilmu di samping kesabaran dalam mendidik menjadi sebab utama mengapa guru-guru PASTI diiktiraf antara produk keluaran PAS yang amat dibanggakan.
“Kesediaan para guru dalam menuntut dan menambah ilmu sepanjang proses mencetak generasi Al-Quran pula merupkan sesuatu yang amat terpuji,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Kursus First Touch PASTI Negeri Perlis 2018 pada 25 Disember yang lalu.
Seramai 35 orang guru PASTI telah menyertai program anjuran Jabatan Pendidikan PASTI Negeri Perlis yang diadakan di PASTI Tarbiyatul Atfal, Jejawi Dalam.
Menurutnya lagi, ketrampilan para guru yang bersesuaian serta mengikut kehendak syarak turut menjadi punca mengapa institusi PASTI terus mendapat sambutan dan kepercayaan masyarakat.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan dua aspek utama yang perlu diberi perhatian oleh para guru PASTI sepanjang melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka.
“Dua aspek utama perlu diberi perhatian serius oleh seluruh guru PASTI iaitu pembangunan ruh dan jatidiri muslim serta penguasaan PdPC berkesan,” katanya.