Home Berita PAS Negeri Sembilan

Guru-guru PASTI Al Biruni Jelebu agih keperluan asas kepada mangsa banjir

138
SHARE

Oleh RUSILAH MD SOM

JELEBU, 26 DISEMBER: Beberapa orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al Biruni melahirkan rasa simpati kepada penduduk yang dilanda banjir dengan mengagihkan pelbagai barangan keperluan asas di sini, hari ini.

Guru Kanan PASTI Al Biruni, Siti Nor Afzan Mohamad Idris telah mendapat makmumat beberapa mangsa banjir yang memerlukan pelbagai barangan keperluan asas setelah barangan keperluan mereka musnah akibat banjir buruk yang melanda sehingga tinggal sehelai sepinggang.

Antara penduduk kampung yang menerima agihan tersebut ialah beberapa keluarga dari Kampung Ulu Jelebu, Kampung Gagu dan Kampung Ulu Triang.

Barangan yang turut diagihkan termasuklah set barangan dapur, barangan keperluan kanak-kanak, barangan keperluan solat, barangan kebersihan diri, toto serta selimut.

PASTI Al Biruni telah dijadikan Bilik Operasi (BO) bagi menyusun gerakerja dan pengumpulan segala keperluan mangsa pasca banjir yang dipertanggungjawab oleh PAS Negeri Sembilan kepada Jabatan Amal Malaysia (JAM) Cawangan Negeri Sembilan.

Justeru, JAM telah bertindak membuka BO tersebut mulai malam kejadian banjir apabila air naik semakin tinggi dan mangsa terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara ( PPS) atau ke kawasan yang lebih selamat.

Mereka yang bertanggungjawab sebagai penyelaras di BO di PASTI Al Biruni ialah Mohd Ali Imran Idris, Ku Shahril Ku Ahmad dan Fathi Ibrahim.

Menurut Mohd Ali Imran, beliau mewakili PAS Kawasan Jelebu, mengucapkan terima kasih atas kerjasama daripada semua ahli PAS dan orang ramai yang hadir untuk membantu serta menyampaikan pelbagai sumbangan.