Home Rencana PAS Johor

Guru enggan vaksin : Selesaikan ibarat rambut tidak putus, tepung tidak berselerak

310
SHARE

GURU ENGGAN VAKSIN: SELESAIKAN IBARAT RAMBUT TIDAK PUTUS,TEPUNG JANGAN BERSELERAK.

1. Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor ( PN Johor) menyambut baik langkah kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengatasi masalah yang berkaitan warga pendidik yang menolak vaksin demi memartabatkan profesionalisme keguruan dalam persada pendidikan negara.

2. Antara pengumuman dan langkah yang dibuat menerusi tindakan Menteri Kanan Pendidikan, YB Dr. Radzi Jidin adalah apabila sekolah dibuka kelak, guru -guru yang yang masih belum menerima vaksin, tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dan tidak boleh berinteraksi dengan para pelajar di dalam kelas.

3. Wanita Perikatan Nasional juga menyambut baik langkah KPM yang bakal mengeluarkan garis panduan kepada warga pendidik yang masih enggan menerima vaksin bagi memastikan ekosistem persekitaran keseluruhan di sekolah dan meyakinkan ibubapa dan pelajar .

4. Ketegasan KPM dalam mendepani sikap guru yang antivaksin tanpa alasan yang munasabah disambut baik oleh Wanita PN Johor termasuk perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) berkaitan tindakan yang boleh diambil terhadap seramai 2,500 daripada keseluruhan guru KPM yang enggan menerima vaksin atas pelbagai alasan.

5. Bagi warga pendidik yang enggan divaksin atas faktor kesihatan, alahan , kehamilan atau faktor tertentu, mereka mestilah perlu jujur dan berterus terang memaklumkan situasi ini supaya KPM boleh membantu mencadangkan solusi terbaik demi kebaikan semua pihak dan warga sekolah.

6. Langkah KPM yang bakal mengeluarkan garis panduan kepada warga pendidik bagi melaksanakan tugas -tugas yang sesuai dilakukan apabila mereka tidak boleh mengajar di dalam kelas adalah bertepatan dengan langkah keselamatan yang seharusnya diambil bagi memastikan keyakinan masyarakat dan rakyat diperolehi bagi menghakis kebimbangan ibu bapa dan pihak pentadbir sekolah bagi mencegah penularan wabak COVID 19.

7. Wanita PN Johor menggesa KPM bertindak tegas terhadap warga pendidik yang dengan sengaja membelakangkan arahan atau ‘engkar perintah’ terhadap etika perkhidmatan awam dan profesionalisme keguruan kerana warga pendidik perlu menjadi contoh teladan kepada murid,ibu bapa dan masyarakat.

8. Apa yang penting , isu ini perlu diselesaikan dengan penuh hikmah ibarat menarik rambut di hujung tepung.Rambut tidak putus ,tepung tidak berselerak.

9. Kami optimis dan percaya jika sesi kaunseling , penerangan penuh hikmah dan langkah sewajarnya diambil oleh KPM untuk mengikis ketidakyakinan segelintir guru yang enggan divaksin, sudah pasti sedikit masalah keengganan guru menerima vaksin dapat diatasi hasil kerjasama secara kolektif semua pihak yang berautoriti.

Sekian terima kasih.

Salam hormat:

NORMALA SUDIRMAN

Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional Wanita Negeri Johor

Merangkap

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor.